KOTA BHARU, 29 Sept: Anggota parlimen (MP) Umno yang beragama Islam perlu turut sama bertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan menjadi kenyataan.
Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mereka mesti menyokong hasrat PAS melaksanakan perundangan Islam di Kelantan dengan melakukan beberapa pindaan undang-undang di parlimen.
"Malah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut mencadangkan supaya peruntukan undang-undang yang sedia ada sekarang perlu dipinda terlebih dahulu," katanya di sini.
Semalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat membuat keputusan menghormati usaha kerajaan Kelantan memasukkan hukum hudud dalam undang-undang syariah selepas dilulus pada persidangan Dun 1993.
Mesyuarat itu turut membenarkan PAS menerangkan mengenai undang-undang syariah biar pun DAP menyatakan tidak menyokong sekiranya ia dilaksanakan.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan meminta orang Islam yang menentang hukum hudud kembali kepada ajaran Islam.
”Janganlah mempolitikkan sehingga ia menjadi isu. Ini kerana hudud adalah perintah Allah yang wajib dilaksanakan mana-mana pemerintah.
”Adalah amat tidak wajar sekiranya umat Islam sendiri menjadikannya isu politik apa lagi menentangnya. Matlamat perjuangan PAS memastikan keseluruhan perintah Allah dapat diamalkan umat Islam,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya tanpa kuasa di peringkat pusat dan mendapat sokongan majoriti dua pertiga, hasrat PAS melaksanakan hukum terbabit akan terhalang.
Malah menurutnya kemenangan PAS di Kelantan sejak 1990 kerana rakyat mahu hukum hudud dilaksanakan.
”PAS memohon agar dibenarkan hudud dilaksanakan di Kelantan sebagaimana yang disebut dalam Enakmen Hudud yang diluluskan pada persidangan Dun 1993,” katanya.
Beliau yang juga bekas pensyarah undang-undang di UIAM menjelaskan hukum hudud hanya akan dilaksanakan di kalangan penjenayah orang Islam sahaja.
"Orang yang tidak berniat melakukan jenayah atau orang bukan Islam tidak perlu takut kerana mereka tidak terlibat dengan enakmen ini," ujarnya.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, program penjelasan dan penerangan mengenai hukum hudud akan dibuat secara berterusan supaya rakyat lebih faham.
Ketua Penerangan AMK Kelantan, Rosdi Mat Zin berkata, pihaknya menyokong apa jua dasar yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat untuk kebajikan dan kebaikan rakyat.
”Kami sedar kewajipan pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dipertikaikan individu Muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt.
”Maka menjadi tanggungjawab orang yang beriman menyokong dan menerima hukum Hudud, Takzir dan Qisas dengan penuh rendah diri,” katanya.
Menurutnya juga kekeliruan yang timbul sebelum ini kerana dakyah disebarkan Umno melalui media massa tajaan mereka.
Beliau juga berkata, kenyataan Dato’ Seri Najib Razak awal-awal lagi menolak melaksanakan hukum hudud perlu dinilai orang Melayu yang beragama Islam.
sumber : Harakah daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.