GOMBAK, 29 Sept: Bayangkan seorang pesara kerajaan menjaga dan memelihara 49 anak yatim hanya dengan bantuan potongan gaji tetap dari anak-anaknya sahaja.
Mungkin ramai yang tidak percaya tetapi itulah yang dilakukan oleh Puan Fatimah Husein dan anak-anaknya yang membuka rumah anak yatim Al Nasuha di Gombak Permai.
(Umi di depan rumah anak yatimnya di Gombak Permai)
"Saya tidak terima bantuan dari mana-mana badan kerajaan....hanya anak-anak saya sahaja yang memberikan bantuan bulanan melalui potongan gaji mereka," kata Puan Fatimah yang lebih mesra dipanggil umi sahaja.
Umi adalah panggilan semua anak-anak yatim Al Nasuha kepada beliau yang menjadi pengetua di situ.
Rabu lepas, 28 September, Puan Fatimah membawa semua anak-anak yatim di bawah jagaannya ke majlis aidil fitri anjuran Harakah di Dewan Datuk Fadzil Nor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad.
Di situ mereka berpeluang memakan makanan yang lazat di samping mendapat sedikit duit raya yang disampaikan sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Kanak-kanak yang berumur antara 3 bulan sehingga 17 tahun beratur untuk bersalam dengan Abdul Hadi dan lain-lain pimpinan PAS bagi menerima duit raya itu.
Nampak jelas, kanak-kanak ini sangat gembira di hari itu kerana ada pihak yang prihatin kepada mereka.
"Kebanyakan mereka ini anak orang-orang susah atau anak yatim piatu yang dihantar oleh keluarga masing-masing untuk kami jaga," kata Puan Fatimah ketika ditemui Harakahdaily di majlis itu.
Menyingkap kisah lalu, Puan Fatimah berkata, ia bermula apabila dia bekerja dengan sebuah rumah anak yatim milik satu keluarga.
Namun apabila isteri kepada pemilik ini meninggal, beliau tepaksa meninggalkan rumah itu kerana tidak manis untuk beliau tinggal dengan seorang lelaki lain di rumah itu.
Lalu ketika itulah datang rancangan untuk membina rumah anak yatim sendiri dengan bantuan dari anak-anaknya.
Menurut Puan Fatimah, ramai anak-anak yatim jagaannya yang telah berjaya dengan baik dalam pelajaran.
"Ada anak-anak kami yang belajar di Mekah dan kolej sekarang," katanya di samping ramai antara mereka datang kembali ke rumah ini untuk menjadi sukarelawan.
(Anak-anak yatim dari Al-Nasuha menerima duit raya dari Abdul Hadi)
Namun masalah besar yang dihadapi Puan Fatimah adalah perbelanjaan bulanan yang agak besar untuk beliau kendalikan rumah anak yatim ini.
Beliau memerlukan antara RM7,000 - 8,000 sebulan dengan belanja untuk elektrik dan air sahaja sudah dekat RM2,000.
"Memang anak-anak saya membantu tetapi tidak cukup. Saya kena mencari pendapatan lain untuk menjaga 49 anak yatim ini," katanya.
Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya, memberikan syarat yang ketat untuk membantu. Antaranya rumah itu hendaklah dibina di lot tepi, sedangkan rumah Al Nasuha hanya di rumah lot tengah sahaja.
Oleh itu, beliau sentiasa mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk membantu rumah anak yatim ini dengan memasukkan sumbangan terus ke akaun Pertubuhan Kebajikan anak-anak Yatim Al-Nasuha melalui akaun Maybank 564829000530.
sumber : Harakah Daily
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.