KUALA LUMPUR, 29 Sept: Keinginan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dan seluruh penduduk Batu Arang untuk melihat kampung mereka dinaiktaraf benar-benar menjadi kenyataan, apabila pengisytiharan fasal pertama Batu Arang Bandar Warisan akan berlangsung dengan Karnival 100 Tahun Batu Arang pada 15 hingga 16 Oktober ini.
Karnival yang dirancang dengan penuh kemeriahan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekitar jam 12.00 tengah hari di mercu tanda Batu Arang yang terletak di sekitar bulatan besar Batu Arang.
Setiausaha JKKK Batu Arang, Ahmad Rafie Yob (gambar) menjelaskan, karnival tersebut pada mulanya dirancang oleh pihaknya selama tiga hari, tetapi diubah kepada dua hari pada 26 hingga 27 September lalu dan kemudian dicadangkan pula oleh Pejabat Menteri Besar kepada 15 hingga 16 Oktober ini.
Menurut beliau, karnival tersebut akan turut dihadiri anak dan cucu kepada pengasas perlombongan arang batu di Batu Arang, J.A. Russlel iaitu yang dikenali sebagai Datuk Russlel dan Corirolene Russlel yang juga Pengarah Urusan Teh Boh.
Katanya, karnival tersebut akan dipenuhi dengan pelbagai acara menarik sejak hari pertamanya bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam.
"Acara pada 15 Oktober itu akan dipersembahkan oleh Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (Padat) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan Ali dengan pelbagai acara kesenian termasuk silat.
"Pada sebelah malamnya akan diadakan forum perdana yang akan dikendalikan oleh Padat dan dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan Ali sendiri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Manakala acara pada hari kemuncaknya pada 16 Oktober, menurut beliau, ternyata lebih menarik yang bermula jam 9.00 pagi dengan kunjungan Tan Sri Khalid untuk merasmikan karnival tersebut dan disambut dengan cara tersendiri serta penuh kemeriahan.
Katanya, setibanya Tan Sri Khalid di persimpangan Ijok sekitar jam 9.00 pagi, beliau akan diiringi masuk ke Batu Arang hingga ke tapak karnival oleh ahli-ahli persatuan motorsikal berkuasa tinggi dengan 250 buah motorsikal masing-masing.
"Turut menyambut Tan Sri Khalid bersama-sama ahli-ahli persatuan itu termasuklah Pengerusi JKKK Batu Arang, Rosli Sharif," jelasnya.
Selepas itu, menurut beliau, Tan Sri Khalid akan dibawa pula melawat lokasi-lokasi terpilih di Batu Arang dengan diiringi 50 buah kereta pacuan empat roda yang dijangka bermula jam 10.00 pagi, sebelum bermula acara perasmiannya sekitar jam 12.00 tengah hari di mercu tanda Batu Arang.
Setelah pengisytiharan fasal pertama Batu Arang Bandar Bersejarah berlangsung, katanya, pengisytiharan peringkat kedua atau peringkat kemuncaknya akan dilangsungkan pula pada tahun hadapan yang dijangka sekitar bulan March dan akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menurutnya, usaha ke arah menjadikan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah dilakukan oleh beliau sendiri dengan dibantu oleh Ahli Majlis MPS Zon 24 yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Selayang, Zaidi Talib, Pengerusi JKKK Batu Arang, Rosli Sharif dan rakan-rakannya yang lain dalam JKKK Batu Arang.
Kertas cadangan untuk membolehkan Batu Arang diwartakan sebagai Bandar Bersejarah telah disiapkan dan dikemukakan oleh beliau pada bulan Mac tahun lalu kepada Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail, Pejabat Daerah Gombak dan MPS.
Selepas itu, beliau juga telah diminta oleh pihak MPS untuk melakukan penerangannya dengan lebih lanjut sebanyak dua kali, iaitu pada bulan Mac dan Mei lalu di pejabat MPS, di samping memberikan taklimat khas kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada bulan April tahun lalu.
Pada tahun ini pula, katanya, Ahli Majlis Diraja Selangor yang juga Orang Besar Daerah Gombak, Datuk Wan Mahmod Pak Wan Teh juga telah tertarik melawat kawasan itu sebanyak dua kali kerana turut tertarik dengan perancangan menjadikan Batu Arang Bandar Warisan.
Selain itu, pihak Majlis Perbandaran Selayang termasuk Yang Dipertuanya juga turut hadir bagi meninjau perkembangan yang dilakukan oleh pihaknya setelah kertas cadangannya diluluskan dan perancangan menjadikan Batu Arang Bandar Warisan dipersetujui oleh kerajaan negeri.
Katanya, sekiranya Batu Arang diwartakan Bandar Bersejarah, kawasan tersebut akan akan maju kerana akan dijadikan pusat perniagaan penting di Selangor dengan jualan barangan murah, dilengkapi tugu besar sebagai mercu tanda Batu Arang dekat Bulatan Batu Arang dan pembinaan muzium geologis.
Rumah-rumah lama yang ditinggalkan dalam usaha perlombongan arang batu di kawasan itu akan dijadikan homestay, di samping pembinaan pasar yang cantik, rangkaian jalan raya yang sempurna, pembinaan pusat sukan yang akan menjadi kunjungan ramai dan pusat rekreasi.
Antara pusat rekreasi yang dirancang untuk diujudkan termasuklah pembinaan pusat sukan lasak, khususnya pusat basikal lasak, pusat permainan kereta kontrol, kapal terbang kontrol yang turut dilengkapi pusat-pusat jualan peralatan berkenaan serta tempat-tempat membaikinya dan pusat memancing.
Manakala pusat-pusat perniagaannya pula termasuklah pusat jualan fabrik, pakaian, pusat makanan dan sebagainya yang pasti akan mempertingkatkan lagi pendapatan para peniaga di kawasan itu khasnya dan seluruh penduduknya amnya.
"Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan tempat berjalan kaki di kawasan ini bagi rekreasi, manakala pada setiap pokok di kawasan ini pula akan dibubuh plat orang-orang berjasa kepada Batu Arang dan sekitarnya," jelasnya.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.