30 Sept 2011

Konspirasi Felda kurangkan pendapatan peneroka- Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menyambut baik usaha 365 peneroka Felda di Pahang yang memfailkan saman tuntutan sebanyak RM200 juta ke atas lembaga itu.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Temerloh, semalam, bagi menuntut ganti rugi berhubung penipuan dalam urusan membeli dan memproses kelapa sawit.

Menyifatkan penipuan itu sebagai satu konspirasi yang dilakukan Felda, Izzah berkata ia turut memberi kesan besar kepada pendapatan peneroka.
“Isu konspirasi menurunkan Kadar Perahan Gred (KPG) ini amat serius, kerana ia membawa kesan yang cukup besar kepada ekonomi para peneroka dengan mengurangkan hasil pendapatan mereka dengan begitu mendadak.
“Jika konspirasi ini dibuktikan benar-benar wujud, maka persoalan yang lebih membimbangkan ialah mengapa pihak-pihak tersebut telah dibenarkan berkelakuan sedemikian?,” soal beliau.
Justeru itu beliau mengalu-alukan tindakan peneroka tersebut dengan membawa kes itu ke mahkamah.
“Sememangnya untuk menghadapi sebuah organisasi yang begitu besar seperti Felda memerlukan kesepakatan di kalangan rakyat, semangat yang kental, dan kepercayaan bahawa keadilan akan tertegak jua akhirnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Semalam peneroka dari 19 Felda jengka di Pahang itu memfailkan tuntutan tersebut, selepas 711 peneroka di kawasan yang sama memfailkan saman mereka pada Julai lalu.
Selain di Jengka Pahang, Felda turut berdepan dengan siri-siri saman dari peneroka di Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan dalam isu yang sama.
Antaranya peneroka Bera di Pahang yang menuntut sebanyak RM300 juta, Felda Serting dan Gugusan Raja Alias (RM200 juta) dan peneroka Felda Maokil Labis, Johor (RM80 juta).
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan sebanyak RM11 juta kerana menipu peneroka berhubung KPG.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.