KUALA LUMPUR, 30 Sept: MCA dan Gerakan terus dicabar supaya keluar dari BN sekarang, bagi menunaikan cakapnya untuk berbuat demikian sekiranya Umno melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan BN.
Kedua-dua parti tersebut dicabar supaya membuktikan cabaran yang dibuatnya itu adalah cabaran yang bersungguh-sungguh supaya ia jelas kelihatan tidak hanya mainan politik mereka.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud sememangnya telah digunakan di sebuah negeri yang berada di bawah BN sekarang iaitu di Terengganu atas nama Kanun Jenayah Syariah Terengganu.
Menurut beliau, Kanun Jenayah Syariah Terengganu itu telah digubal oleh PAS dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 lalu, tetapi kini terus digunakan di Terengganu walaupun Terengganu berada di bawah pemerintahan BN.
Katanya, disebabkan perkara itu, MCA dan Gerakan perlu keluar dari BN sekarang bagi melaksanakan cabaran yang telah dibuatnya itu kerana jika tidak, mereka hanya ternyata bercakap kosong.
"Lebih jauh dari itu, jika MCA dan Gerakan tidak melaksanakan apa yang dikatakan oleh para pemimpin tertinggi mereka itu, kedua-dua parti itu jelas hanya menipu orang-orang Cina yang menjadi ahli-ahlinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
MCA dan Gerakan seperti yang dilaporkan media tempatan termasuk akhbar milik Umno sejak beberapa hari lalu mengatakan, pemimpin utama MCA dan Gerakan akan tetap menentang perlaksanaan hudud di negara ini dan sekiranya Umno atau BN melaksanakannya, kedua-dua parti itu akan keluar dari BN.
Menurut Mahfuz, untuk membuktikan cabaran yang dibuat itu bukan mainan politik, MCA dan Gerakan perlu mengemukakan usul supaya Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang digunakan di Terengganu sekarang dibatalkan.
Katanya, usul tersebut perlu dikemukakan pada persidangan Dun Terengganu dan perlu disokong oleh majoriti ahli-ahli Dun Terengganu termasuk dari Umno untuk membolehkan ia diluluskan.
"Untuk membolehkan usul itu diluluskan, ia mestilah disokong oleh ahli-ahli Dun Terengganu dari Umno. Tetapi sekiranya ahli-ahli Dun Terengganu dari Umno tidak menyokongnya, usul tersebut tetap tidak boleh diluluskan.
"Disebabkan tidak mendapat sokongan dari Umno, MCA dan Gerakan mestilah keluar dari BN bagi membuktikan cabaran yang dibuatnya itu adalah cabaran yang bersungguh-sungguh, bukan hanya mainan politik," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
26 September lalu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media yang diadakan bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke di Pejabat Agung PAS seperti yang dilaporkan Harakahdaily, turut mencabar MCA dan Gerakan berbuat demikian.
"Jadi kalau MCA dan Gerakan nak keluar dari BN, keluarlah sekarang kerana itulah Kanun Jenayah Syariah yang dilaksanakan oleh BN di Terengganu sekarang," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.
Realiti yang berlaku di Terengganu, tegas beliau, berbeza dengan Kelantan kerana Terengganu kini diperintah oleh BN setelah merampas tampuk pemerintahan Terengganu dari PAS, manakala Kelantan pula terus diperintah oleh PAS.
Katanya, para pemimpin MCA dan Gerakan tidak seharusnya bercakap kosong dalam hal itu, malah mereka perlu melaksanakan apa yang diperkatakan oleh mereka itu bagi mempertingkatkan imej mereka sendiri.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.