KUALA LUMPUR, 30 Sept: PAS memberikan amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar jangan terlalu ghairah memberikan 'feel good factor' dalam bajetnya kerana dibimbangi ia menjadi bencana kepada negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, nampak jelas kebelakangan ini Najib menuju ke arah itu.
"Ura-ura Najib mahu menaikkan gaji dan imbuhan untuk kakitangan awam dalam bajetnya nanti adalah untuk memberi 'feel good factor' menjelang pilihan raya ini.
"Namun, kena ingat data yang ada sekarang menunjukkan ia satu yang negatif kepada ekonomi kita," katanya.
Sebuah laman web melaporkan, Najib akan membentangkan sistem baru gaji kakitangan awam yang dijangka bakal memberikan kenaikan gaji sehingga 40 peratus kepada kakitangan awam tahun depan.
Namun, bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Seri Salleh Majid tidak bersetuju dengan pendekatan itu.
"Ia hanya akan menyebabkan inflasi meningkat di negara ini kerana pihak lain akan menaikkan harga barangan mereka dengan kenaikan gaji kakitangan awam ini.
"Yang baik adalah memberikan wang itu kepada kumpulan sasaran yang memerlukannya untuk mereka merancakkan ekonomi," kata Salleh dalam satu wawancara dengan satu saluran tv.
Menurut Dr Dzulkefly yang bersetuju dengan pandangan pakar ekonomi itu, data-data yang ada tentang ekonomi terutama hutang individu di negara ini sekarang membimbangkan.
"Hutang isi rumah telah mencecah 76.6 peratus KDNK. Ini sebenarnya melebihi atau sama dengan hutang isi rumah di Amerika Syarikat ketika mereka berdepan krisis kewangan pada tahun 2008 yang dinamakan Krisis Sub Prima yang tidak reda hingga hari ini.
"Mengikut laporan media, nilai ini bagi CEO Maybank, Datuk Seri Wahid Omar, sangat membimbangkan.
"Jika Najib terus dengan strategi feel good factor menjelang pilihan raya ini, ia sangat membimbangkan," katanya kepada Harakahdaily.
Pada Oktober 2010, pinjaman pribadi isirumah Malaysia adalah 8.9 peratus, hutang rumah dan hartanah 50 peratus, hutang kad kredit 6.3 peratus dan pinjaman kereta 27 peratus.
"mengikut fakta Bank Negara bulan mac lalu, hutang pribadi sudah mencecah ke 15 peratus keseluruhan isi rumah kini. Ini sangat mencemaskan," katanya.
Orang ramai membuat pinjaman pribadi kerana dua faktor kata Dr Dzulkefly, iaitu kempen menurunkan interes di kalangan bank-bank dan keperluan kewangan yang ketara di kalangan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, jika Najib terus dengan polisi untuk menaikkan gaji kepada kakitangan awam untuk menghasilkan 'feel good factor' menjelang pilihan raya ini, ia satu polisi yang silap.
"Ini satu fiscal mis management," kata beliau kepada Harakahdaily.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.