2 Dec 2011

PRU13: Gamis seru siswa, anak muda bersedia

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Mahasiswa mesti bersedia untuk bertindak sebagai third-force dalam meneraju arus gelombang perubahan dan memobilasi gelombang kebangkitan rakyat.
“Ini amat penting bagi memastikan kepimpinan negara kita sentiasa dinilai oleh mahasiswa yang juga merupakan kumpulan check and balance kepada negara," kata Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.
Menurutnya, mengambil intipati sejarah agung Islam, penghijrahan Nabi s.a.w., mahasiswa seharusnya bersedia untuk meletakkan diri sebagai benteng mempertahankan keadilan sejagat.
Katanya, dalam penilaian ucapan dasar Presiden Umno yang mengetuai tampuk kepimpinan negara hari ini, menampakkan bahawa seolah-olah pilihan raya umum ke-13 sudah tidak lama lagi.

Beliau berkata, dengan kewujudan pelbagai akta baru dan 'undang-undang rimba' yang sangat tidak masuk akal, semakin terbukti bahawa Umno BN sudah bersiap untuk membubarkan parlimen.
Justeru, ujarnya Gamis menyeru seluruh mahasiswa khususnya dan anak muda umumnya untuk mempersiapkan diri dalam penyertaan menentukan kepimpinan negara yang lebih baik.
Katanya, dua perkara penting yang mesti ditekankan oleh mahasiswa iaitu nama sudah didaftar sebagai pengundi dan pastikan kewujudan nama tersebut kerana tarikh pilihan raya masih belum diketahui.
Selain itu, ujarnya mereka mestilah bersedia untuk pulang ke halaman masing-masing dan mengundi calon dan parti yang terbaik supaya perjuangan gelombang kebangkitan rakyat tidak disia-siakan.
 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.