KUALA LUMPUR 15 Dis: Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) akan mengadakan himpunan aman di Dataran Merdeka bermula 2 jam petang Sabtu ini, kata Sekretariat media Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamaruddin.
Himpunan itu katanya, bagi mendesak kerajaan persekutuan mewujudkan kebebasan akademik di Malaysia.
“Pada himpunan itu, satu deklarasi mengenai kebebasan akademik di Malaysia akan dilancarkan dan sebelum ia diserah kepada kerajaan persekutuan dan parti pembangkang untuk dibahas di Parlimen.
“Kami juga berharap deklarasi itu diluluskan bagi memastikan adanya panduan mengenai kebebasan akademik di negara ini,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.
Beliau memberi contoh, di England misalnya, ada pertubuhan bernama ‘Academic Freedom’ yang memperjuang kebebasan akademik di negara itu.
Ketika ini, katanya, tahap kebebasan akademik di Malaysia masih rendah kerana kerajaan persekutuan sukar menerima pandangan golongan ini.
Beliau memberi contoh pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang ditekan termasuk digantung tugas sebagai pensyarah kerana memberikan pandangan yang dilihat tidak menyebelahi Umno-Barisan Nasional.
“Profesor Dr Abdul Aziz Bari misalnya, kebebasan beliau memberi pandangan dikekang hanya kerana beliau dilihat tidak memihak parti pemerintah.
“Hakikatnya, Profesor Aziz hanya memberi pandangan mengenai bidang dan kepakaran beliau,” katanya.
Semalam, seramai 15 pemimpin dan pengikut Bebas ditahan polis di pekarangan KL Sentral kerana mengadakan flashmob, menuntut kebebasan akdemik. Meraka hanya dibebaskan sekitar 10.30 malam tadi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.