KOTA BHARU, 28 Nov: Apakah benar Umno mengamalkan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) dalam amalan Islam, sedangkan dalam banyak keadaan apa yang diperintahkan Allah seperti tidak diendahkan.
Apa yang berlaku sekarang amalan Islam dilakukan mereka secara terpilih di mana meninggal perkara yang bertentangan dengan naluri.
Misalnya pelaksanaan perundangan Islam diketepikan, malah lebih mendukacitakan lagi tidak memberi kerjasama apabila ada pihak lain yang mahu melaksanakannya.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, konsep wasatiyyah dalam Islam berlaku apabila kita mengamalkan Islam sebagaimana diperintahkan oleh Allah Taala.
“Perlu diingatkan amalan yang dilakukan tanpa ada pengurangan atau pun penambahan. Sekiranya ada pengurangan atau penambahan maka itulah yang dikatakan melampau.
”Seperti juga seorang doktor yang menetapkan seseorang pesakit mesti mengambil kadar tertentu dos ubat. Sekiranya pesakit itu mengambil dos kurang atau lebih, ia dikira melanggar peraturan.
“Pesakit perlu mengambil ubat mengikut kadar dos yang telah ditetapkan sebagai ikhtiar bagi menyembuhkan penyakit dihidapi,” katanya di sini.
Begitu juga kata beliau apa yang PAS perjuangkan selama ini iaitu melaksanakan amal makruf nahi mungkar seperti diperintah Allah.
Semalam Biro Penerangan Umno menganjurkan seminar kebangsaan pemahaman Wasatiyyah yang dirasmikan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Muhyiddin pada seminar itu menyebut wasatiyyah mendidik rakyat berfikir dan bertindak secara bijaksana, berkesan dan mengajar agar tidak melampau.
Dr Muhammad Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebenarnya pemimpin Umno yang bersikap melampau apabila tanpa segan silu banyak melanggar perintah Allah.
“Saya peringatkan agar jangan kelirukan umat Islam dengan istilah dalam bahasa Arab, sedangkan pemimpin Umno sendiri kelihatan jauh daripada menuruti kehendak seperti digariskan al Quran,” ujarnya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.