28 Nov 2011

Monorel Melaka hadapi masalah lagi

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 28 Nov: Baru tiga hari operasi dimulakan semula, perkhidmatan Monorel Melaka sekali lagi terpaksa dihentikan berikutan masalah hujan lebat, lapor Malaysiakini.
Malaysiakini difahamkan, pada kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam, gerabak monorel berkenaan baru bergerak kira-kira 300 meter dari Stesen Hang Jebat di Pengkalan Rama sebelum ia berpatah balik ke stesen.
Akibat kejadian itu juga telah mengecewakan 18 pelancong Hong Kong kerana terpaksa membatalkan hasrat untuk menyaksikan keindahan bandaraya Melaka dengan menaiki perkhidmatan monorel.
Sementara itu, tambang RM10 setiap seorang untuk menaiki monorel berkenaan kemudiannya dikembalikan kepada pelancong terbabit.

Difahamkan juga keputusan membatalkan perkhidmatan berkenaan adalah berikutan ketiadaan sejenis cat thermal khas pada landasan yang membolehkan perkhidmatan dijalankan seperti biasa pada waktu hujan.
Tanpa cat berkenaan, roda monorel dikatakan tidak akan dapat mencengkam landasan dengan baik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad berkata, perkhidmatan monorel berkenaan tidak akan dapat berjalan seperti biasa pada waktu hujan, melain pihak pengurusan menggunakan cat thermal pada landasannya.
Menurutnya, keadaan basah yang disebabkan hujan akan mengurangkan cengkaman pada landasan dan roda monorel.
"Sebab itulah kita meminta pihak pengurusan Monorel Melaka supaya tidak mengendalikan perkhidmatan pada waktu hujan," katanya.
Selain itu, katanya, sepasukan jurutera SPAD akan turut dihantar untuk memeriksa monorel berkenaan hari ini.
Jumaat lalu, perkhidmatan Monorel Melaka memulakan semula operasi selepas digantung perkhidmatannya sejak awal bulan ini.
Kebenaran untuk pengendali perkhidmatan itu, Menara Taming Sari Bhd, memulakan semula perkhidmatan dikeluarkan SPAD setelah berpuas hati langkah diambil pengendali perkhidmatan terhadap beberapa isu ditimbulkan sebelum ini.
Bagaimanapun, syarat SPAD mengenai penggunaan cat khas itu masih belum dilaksanakan dan hanya akan dibuat apabila perkhidmatan monorel dihentikan seketika bagi menjalankan penyelenggaraan berjadual Januari depan.
Pada 2 November lalu, dua pelancongan Britain terperangkap selama 20 minit di dalam gerabak gara-gara perkhidmatan terhenti secara tiba-tiba.
Harakahdaily pada 24 November lalu melaporkan, selepas projek monorel Melaka berharga RM15 juta mengudang pembaziran berganda, kini projek bertemakan hiburan, permainan roller coaster pula mengalami nasib yang sama.
Merujuk kepada akhbar Sinar Harian, roller coaster yang bertempat di taman hiburan Sungai Melaka itu tidak pernah berfungsi sejak dua tahun lepas.
“Projek yang bernilai RM10 juta ini sehingga hari ini hanya bertindak sebagai hiasan,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Melaka, Muhamad Aizat Bahrudin.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.