19 Nov 2011

Skandal NFC: Najib didesak dedah minit mesyuarat Kabinet

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak mendedahkan minit mesyuarat Kabinet sewaktu penganugerahan projek ternakan lembu kepada syarikat keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, National Feed Corporation (NFC).
Pengarah Strategik KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata pendedahan itu perlu supaya rakyat dapat menilai sejauh mana Shahrizat terlibat dalam memperoleh kontrak berkenaan.
Ini kerana, katanya, kenyataan suami Shahrizat Jalil, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail di media arus perdana, sebenarnya mengesahkan pendedahan berkaitan penyelewengan wang rakyat RM250 juta dalam skandal NFC.
“Saya ingin tegaskan, semua kenyataan beliau langsung tidak menafikan pendedahan yang dibuat KEADILAN.

“Malah, tiga pengakuannya mengesahkan keresahan rakyat bahawa anugerah projek ini kepada syarikat milik keluarga menteri kanan ada unsur penyelewengan.
“Beliau mengakui NFC tiada kepakaran dan pengalaman mengendali projek hingga menyebabkan syarikat menghadapi masalah operasi dan kewangan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti petang ini.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Mohamad Salleh di New Straits Times bertajuk “I am not angry but the bull claim better stops” semalam.
Rafizi turut mendedahkan, NFC hanya membawa masuk lembu dari Australia pada tahun pertama operasi iaitu 4,141 ekor dan tidak membawa masuk lagi pada tahun kedua operasi.
Katanya, Mohamad Salleh dalam pengakuannya juga mengesahkan hujah KEADILAN apabila mengakui pinjaman RM250 juta kepada NFC tidak disertakan jadual pembayaran balik.
“Ini mengesahkan pendedahan KEADILAN bahawa walaupun dana RM250 juta disebut sebagai pinjaman, ia lebih berbentuk geran kerana NFC tiada jadual pembayaran atau caj faedah seperti pinjaman biasa,” katanya.
Kata Rafizi, pengakuan Mohamad Salleh turut mengesahkan pendedahan KEADILAN apabila suami Shahrizat itu mengaku membayar jumlah lebih tinggi untuk membeli dua unit kondominium mewah di Tingkat 1, Blok B One Menerung Bangsar.
“Saya terkejut beliau bukan sahaja membuat penafian tetapi dengan bangganya mengesahkan membayar RM13.8 juta,” kata Rafizi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.