KUALA LUMPUR, 20 Nov: Dakwaan banyak pihak bahawa pemberian bantuan persekolahan RM100 dijadikan alat politik Umno BN menagih undi, nampaknya ada kebenarannya.
Semalam, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga ketua Wanita PKR mendedahkan wang bantuan RM100 kepada murid sekolah yang sepatunya diadakan di sekolah, diberikan di pejabat Umno.
Zuraida mendakwa sebuah sekolah rendah di Ampang membawa pelajarnya ke pejabat Umno bahagian untuk mendapatkan wang bantuan terbabit.
Malah bantuan tersebut diberikan oleh Ketua Umno bahagian Datuk Ismail Kijo di bangunan Umno Ampang di Jalan Bukit Belacan.
“Saya dapat panggilan dari guru besar dan ibu bapa yang memberitahu murid-murid terpaksa dibawa ke bangunan Umno Ampang untuk menerima wang itu.
“Sepatutnya bantuan itu diserahkan oleh kakitangan kerajaan atau pun daripada Kementerian Pelajaran,” kata Zuraida dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam.
Wang bantuan persekolahan RM100 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 lalu.
Ianya sepatutnya diserahkan kepada pelajar melalui satu majlis penyerahan yang diadakan di sekolah, dan bukan di pejabat Umno.
agenda terdesak
Sebelum ini, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa Umno sangat terdesak sehingga terpaksa menggunakan projek pemberian RM100 itu sebagai medan politik mereka.
Dalam sesetengah majlis penyerahan yang diadakan, ibu bapa yang hadir bagi menerima wang tersebut didakwa dipaksa menunggu dan mendengar 'ceramah politik' dari pemimpin Umno yang turut dijemput serta dalam program itu.
Malah, satu surat yang mendedahkan arahan khas daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed bertarikh 11 November lalu kepada pengurusan sekolah dan pengarah pelajaran negeri agar menjemput wakil rakyat BN ke program penyampaian bantuan itu juga dilihat ada agenda politik tertentu.
Kandungan surat itu menyatakan, mesyuarat jemaah menteri pada 28 Oktober memutuskan, wakil rakyat atau "wakil terpilih kerajaan persekutuan" hendaklah membantu menyampaikan bantuan itu kerana ia "touch point" kerajaan kepada rakyat.
"Ini menunjukkan bahawa duit tersebut bukan sangat bertujuan untuk membantu murid atau keluarga, tetapi lebih kepada kepentingan politik, (tunjukkan) yang beri itu Umno atau BN," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, arahan Dr Rosli itu jelas menunjukkan bagaimana ketua pentadbir kementerian tidak profesional, tidak amanah dan tidak jujur kerana "menjadikan kementerian sebagai alat politik".
"Saya nasihatkan dia berhentilah bermain politik. Ia menyalahi prinsip penjawat awam tidak boleh memihak," kata anggota parlimen Machang itu. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.