KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mengalu-alukan keputusan kerajaan yang mengumumkan projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari bermula Januari ini di empat negeri tidak akan diteruskan.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan tersebut sangat wajar dan selari dengan desakan PAS selama ini yang mahu warga pendidik dibela, bukan dibebankan dengan ditambah waktu berkerja.
"Kita alu-alukan keputusan kerajaan membatalkan projek printis guru kerja sembilan jam ini.
"Saya sendiri sebelum ini turut menyuarakan bantahan kepada pihak kementerian di Dewan Rakyat, agar ianya dimansuhkan kerana khuatir kesan negatif kepada proses pengajaran guru dalam kelas," katanya yang juga ahli parlimen Pokok Sena.
Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari itu dibatalkan.
Langkah itu menurut Muhyiddin, bertujuan mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.
Katanya, ianya tidak perlu perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz sekali lagi menegaskan, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran perlu juga mendapat pandangan pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum membuat sebarang ketetapan terhadap tugas guru.
"Kerajaan perlu ambil pengajaran. Apa-apa keputusan berkaitan perguruan, perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak kesatuan.
"Kita tidak mahu keputusan yang dibuat akhirnya menjejaskan 'core business' guru sekaligus yang menjadi mangsanya adalah pelajar itu sendiri,' katanya.
Sebelum ini Presiden NUTP Hashim Adnan turut menyatakan bantahan dengan projek printis kerja sembilan jam itu kerana ianya dibuat tanpa berbincang dengan pihak mereka.
Lebih membimbangkan katanya, tindakan tersebut 'boleh mematahkan semangat guru' disamping tidak praktikal dengan sistem pengajaran sedia ada.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.