KUALA LUMPUR, 8 Nov: Isu bantahan penduduk Putra Height dan Taman Megah terhadap cadangan pembinaan laluan Sistem Aliran Ringan (LRT) khususnya laluan di antara Stesen 11 dan Stesen 12 yang akan dibina oleh Prasarana Negara Berhad masih diteruskan.
"Alasan utama terhadap bantahan pembinaan tersebut adalah kerana stesen tersebut terlalu hampir dengan kawasan perumahan serta potensi risiko geobencana seperti tanah runtuh dan kemungkinan banjir besar," jelas Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.
Tambahnya lagi, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Penyelaras Program Bencana Geologi, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin.
"Aspek geologi dan geoteknikal yang terkandung di dalam Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), Laporan Kajibumi dan Laporan Penyiasatan Struktur Tanah yang disediakan oleh pemaju tidak lengkap dan tidak boleh dikategorikan sebagai laporan kajian terperinci.
"Oleh itu, kebimbangan dan bantahan penduduk seperti yang disuarakan oleh Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Putra Heights dan Taman Alam Megah adalah berasas dan wajar diberi pertimbangan.
"Dalam pada itu melalui laporan Tajul Anwar itu juga kajian perlu dilakukan secara terperinci bagi mengenalpasti kesemua masalah geologi dan geoteknikal serta risiko geobencana telah diambil kira sepenunhnya, ini penting bagi menjamin langkah-langkah mitigasi dan pencegahan risiko bencana yang sesuai dan rekabentuk yang seamat serta ekonomikal untuk jangka masa panjang," jelas Dr Mariah pada satu sidang media di lobi parlimen.
Sidang media itu juga turut dihadiri wakil Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Prem Kaur, Presiden Persatuan Penduduk Subang Alam Seksyen 27 Shah Alam dan Justin Tham sebagai wakil Lembaga Pengurus Sekolah SJKC Tun Tan Siew Sin.
Dr Mariah juga memberitahu tanpa kajian geologi dan geoteknikal yang terperinci serta tanpa pernyataan kaedah yang kukuh oleh pengkaji profesional untuk plan mitigasi risiko geobencana, maka ada kewajaran cadangan tersebut perlu diubah ke laluan yang sewajarnya serta yang lebih selamat.
Sementara itu, Prem Kaur memberitahu sehingga sekarang tiada maklumat atau kajian baru dilaporkan di dalam laporan yang disediakan oleh Prasarana ini, apa yang diberikan adalah maklumat yang sama daripada kajian terdahulu iaitu Oktober 2010.
"Laporan tersebut tidak lengkap dan kita melihat laporan itu hanya berkisar kepada huraian tentang jenis dan keadaan tanah serta batuan yang diperolehi daripada lubang-lubang gerudi yang dibuat di antara stesen 11 dan 12.
"Kita tidak mahu peristiwa yang sama berlaku seperti apa yang telah terjadi sebelum ini iaitu di Bukit Antarabangsa, Highland Towers malah keruntuhan Stadium Sultan Mizan. Perkara ini perlu dititik beratkan jangan bila berlaku bencana serta kehilangan nyawa baru kita hendak bertindak.
"Kami berharap kerajaan negeri mengarahkan pembinaan tersebut dihentikan segera dan jika ingin meneruskan juga ia perlu melalui laluan yang lain," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mariah menjelaskan bantahan pembinaan tersebut juga di sebabkan laluan terlalu hampir dengan kedudukan deretan rumah yang berdekatan dengan cerun selain selari dengan jajaran kabel elektrik yang sedia ada dan juga berhampiran tasik hasil dari bekas kuari.
"Berdasarkan laporan geologi dan maklumbalas pemaju serta ulasan pakar yang teah dibentangkan di dalam menyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 21 April yang lalu dan susulan dari mesyuarat tersebut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim telah turun padang diiringi Datuk Bandar Shah Alam serta beberapa Exco dan Pegawai Kerajaan Negeri bagi melihat sendiri laluan yang dibantah oleh penduduk.
"Susulan lawatan itu Menteri Besar mengarahkan Prasarana menyediakan laporan kajian geologi serta menjawab segala keraguan tentang isu-isu berkaitan risiko geobencana.
"Tetapi apa yang diterima dari Prasarana adalah mengenai laporan yang sama dengan apa yang diberikan sebelum ini, tidak satu pun dijawab tentang isu-isu geobencana dan kita harap kerajaan negeri dapat memainkan peranan untuk menghentikan pembinaan tersebut serta meminta pemaju mencari laluan baru bagi kedua-dua stesen tersebut," katanya.
Sebelum itu, penduduk setempat menyatakan hasil kajian yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) jauh lebih selamat serta memberi manafaaf kepada penduduk setempat serta masyarakat sekeliling jika dibandingkanm dengan apa yang dicadangkan oleh Prasarana.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga turut hadir dalam sidang media tersebut menyarankan agar Prasarana mengemukakan cadangan laluan yang baru, walaupun ada penambahan kos tetapi ia lebih selamat dari apa yang akan di hadapi pada masa yang akan datang. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.