8 Nov 2011

PAS Sabah sokong tuntutan masyarakat Tidung

Mohd Firdaus   
SANDAKAN, 8 Nov: Tuntutan agar masyarakat Tidung dikitiraf sebagai Bumiputera Sabah yang dibuat oleh Presiden Kelab Masyarakat Tidung Tawau, Yakub Uton, mendapat sokongan kuat PAS Sabah.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata, kegagalan pemimpin Umno BN sejak puluhan tahun bagi memperbetulkan kepincangan ini, adalah bukti kukuh bahawa mereka tidak serius melaksanakan apa yang mereka gelar sebagai program transformasi negara.
"Umno BN memang hebat mencanangkan pelbagai slogan dan tema, tetapi hakikatnya mereka hanya serius melakukan sesuatu perkara jika membawa pulangan jutaan ringgit dalam bentuk habuan yang mereka perolehi," katanya.

Masyarakat Tidung dan Brunei adalah penduduk asal Negeri Sabah tetapi kedua-dua suku kaum masyarakat ini dikategorikan sebagai pendatang dan tidak layak mendapat hak sebagaimana dinikmati oleh suku kaum Kadazan, Sungai, Suluk, Bajau, Simunol dan Murut yang dikategorikan sebagai Anak Negeri Sabah.
"Apakah usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno yang sebahagiannya terdiri dari keturunan Brunei dan Tidung? Apakah mereka tidak malu digelar sebagai pemimpin, Menteri dan YB pendatang?
"PAS mempunyai bukti bagaimana individu yang mempunyai Sijil Lahir yang mencatatkan butiran bangsa sebagai Brunei dan Tidung tidak layak membeli tanah berstatus NT (Native Title).
“Berbeza dengan keturunan Cina, yang hanya membuat perakuan sebagai kononnya keturunan Sino-Native, mereka ini mempunyai kelebihan dan penghormatan dari Jabatan Tanah sehingga dipermudahkan permohonan mereka untuk menukar hakmilik geran tanah berstatus NT ke atas nama mereka. Ini bukan kenyataan perkauman, tetapi satu realiti," jelasnya.
Sehubungan itu, PAS mengajak masyarakat Tidung dan Brunei supaya menolak kerajaan yang ada sekarang dan memberi kepercayaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dalam PRU-13 akan datang.
“PAS berazam dan komited bagi memperbetulkan pelbagai kepincangan yang telah gagal ditangani oleh Umno BN," rayunya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.