Laluan 300 meter becakOleh Junita Mat Rasid
Penduduk menunjukkan air hujan yang bertakung di jalan yang tidak berturap di Persiaran Impian, Parit Pechah.
MUAR: Permohonan sudah lama dibuat, malah lawatan tapak dan anggaran kos projek juga sudah dilakukan, namun sehingga kini laluan sepanjang kira-kira 300 meter di Persiaran Impian dekat Parit Pechah di sini, masih belum menunjukkan tanda akan diturap segera.
Selepas beberapa kali membuat permohonan melalui pelbagai pihak termasuk yang terakhir pada akhir tahun lalu, sehingga kini projek menurap jalan itu masih tiada tanda akan dimulakan. - Md Alrazi Md Mukiar, Penduduk Persiaran Impian
Penduduk kawasan itu mendakwa, sebelum ini mereka berkongsi mengumpul kira-kira RM3,000 sejak tahun lalu bagi menambak laluan itu dengan batu bagi menggantikan laluan tanah merah tetapi ia hanya langkah sementara.Selain menjadi kemudahan kepada penduduk kawasan itu, laluan terbabit juga dijadikan jalan pintas penduduk kawasan sekitarnya menghantar anak ke sekolah.
Selain masalah jalan tidak berturap, penduduk turut menghadapi masalah lain apabila paip air ke kawasan berkenaan sering pecah atau bocor sehingga menyebabkan air bertakung, sekali gus memburukkan lagi laluan berkenaan.
Penduduk, Md Alrazi Md Mukiar, 39, berkata pihaknya sudah membuat permohonan supaya jalan itu diturap sejak kira-kira enam tahun lalu lagi tetapi ia masih belum dijalankan menyebabkan keadaan kurang selesa.
Katanya, pada mulanya laluan itu hanya mempunyai jalan tanah merah sebelum penduduk kawasan itu berkongsi mengeluarkan peruntukan sendiri menambak jalan dengan batu kerikil sebagai langkah sementara sebelum menunggu jalan diturap.
"Bagaimanapun, selepas beberapa kali membuat permohonan melalui pelbagai pihak termasuk yang terakhir pada akhir tahun lalu, sehingga kini projek menurap jalan itu masih tiada tanda akan dimulakan," katanya.
Md Alrazi berkata, pihaknya dimaklumkan siasatan dan lawatan tapak sudah dijalankan, malah anggaran kos projek sudah dibuat tetapi sehingga kini, ia masih belum dilaksanakan sehingga menyebabkan tanda tanya di kalangan penduduk sama ada projek itu sudah dibatalkan.
Seorang lagi penduduk, Hasri Supian, 44, berkata keadaan jalan masih belum berturap itu meresahkan penduduk kerana laluan batu yang mereka tambak dengan kos sendiri tidak lagi dapat menampung keperluan penduduk.
"Sebelum ini, tetamu atau keluarga yang datang ke rumah kami sering merungut mengenai laluan tanah merah yang tidak selesa menyebabkan kami terpaksa berkongsi duit bagi menambak jalan dengan batu kerikil dan sehingga kini masalah jalan itu masih belum diselesaikan," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kerja menaik taraf jalan berkenaan dapat dilaksanakan dengan segera bagi memastikan keselesaan dan menjamin keselamatan penduduk.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.