(Oleh: Nabihah Hamid)KUALA LUMPUR 28 Okt: Exco Pelancongan Negeri Selangor, Elizabeth Wong mempersoalkan asas penafian Menteri Pelancongan berhubung lebihan pembayaran RM270 juta untuk iklan kementerian itu tahun lalu.
Penafian Datuk Seri Ng Yen Yen itu dibuat meskipun Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan kementerian itu memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka bagi iklan berkenaan.
“Semua dakwaan ataupun teguran jabatan audit perlulah diterima dan jika pihak tertentu mahu menafikan, ia perlu dijawab dengan fakta yang betul,”
“Saya rasa kenyataannya melucukan dan hanya sandiwara. Beliau (Ng Yen Yen) jangan sekadar nafi tetapi perlu memberi penjelasan,” kata Elizabeth Wong.
Menurut Adun Bukit Lanjan itu, bagi sesuatu projek yang besar, kementerian pelancongan pada prinsipnya perlu melaksanakan pemberian tender terbuka dan bukan rundingan terus.
“Banyak tender secara langsung diberikan dan sekiranya tender terbuka dibuat, ia memberi lebih banyak persaingan antara syarikat yang boleh menawarkan harga (iklan) yang jauh lebih murah,”
“Ini adalah penting untuk ketelusan dan menyemak latar belakang syarikat,” tambah beliau.
Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini dipetik berkata, kementerian berkenaan terlebih bayar RM270 juta untuk iklan apabila ia memilih untuk menggunakan tempahan terus dan bukan tender terbuka.
Laporan itu menyatakan kementerian juga telah melanggar peraturan-peraturan Perbendaharaan seperti yang ditetapkan dalam pekeliling pada tahun 2007.
Selain itu, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membeli sebanyak 1,000 unit rak besi risalah Visit Malaysia 2007 berjumlah RM1.95 juta juga dibuat secara runding terus tanpa kelulusan kementerian kewangan.
Bagaimanapun menterinya Ng Yen Yen hari ini menafikan perkara itu tanpa memberikan sebarang asas.
Elizabeth sebelum ini pernah menggesa Ketua Audit Negara menyiasat kontrak luar biasa RM1.8 juta untuk laman Facebook Kementerian Pelancongan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat.
Tender untuk kontrak selama tiga tahun itu diberikan kepada syarikat tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan rakan Ng Yen Yen.
Keupayaan syarikat itu bukan saja dipersoalkan, malah ia didapati turut tidak mempunyai laman web sendiri.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.