(Oleh: Nabihah Hamid)KUALA LUMPUR 28 Okt: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menegaskan keadaan hutang negara yang mencecah RM437 bilion, kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Beliau mengulas kajian oleh badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) yang membuat jangkaan hutang negara mencecah RM1 trilion pada tahun 2020.
Kadar itu diramalkan sekiranya hutang kerajaan persekutuan berkembang pada kadar RM50 bilion setahun.
“Yang itu memang jelas.. angkanya memang sudah diketahui umum. Namun (masalah) yang lebih besar ialah tak sampai tahun 2020, (hutang) negara sekarang pun di tahap yang sesak,” katanya pada Keadilandaily.com.
Tegasnya, Akta 637 Akta Pinjaman Tempatan 1959 dan Akta 275 Akta Pelaburan Kerajaan 1983, menetapkan pinjaman tidak boleh melewati kadar 55 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Manakala Akta 403 Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 pula menghadkan pinjaman luar negeri pada RM35 ribu juta pada sesuatu masa.
Ekoran itu katanya, “Jikalau hutang bertambah dan kerajaan tak mampu untuk menanggungnya ia akan menjejaskan bukan saja kemampuan kerajaan untuk belanja tetapi akhirnya sampai terpaksa melupuskan aset negara seperti menggadaikan tanah kerajaan,”
“Sampai satu peringkat, kutipan cukai negara juga tidak lagi dapat menampung bebanan hutang,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempersoalkan hutang negara yang kini meningkat sebanyak RM437 bilion, berdasarkan Laporan BNM setakat suku ke 2 tahun ini.
Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5 peratus, maka kadar keberhutangan negara kini mencecah 53 peratus dari KDNK.
Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding pada 2007 iaitu sebanyak 42 peratus dari KDNK negara. Manakala kadar hutang isi rumah pula mencecah RM577 bilion iaitu 77 peratus dari KDNK, berbanding pada 1997 hanya 33 peratus dari KDNK.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.