KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib mempersoalkan tentang janji yang telah diumumkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi Perdana Menteri.
Beliau mempersoalkan Abdullah pernah berjanji ingin memajukan kawasan-kawasan di perbatasan negara atau sempadan dengan melihat kawasan-kawasan tersebut dapat menyumbang ekonomi kepada negara.
"Mana janji yang telah dikatakan oleh Abdullah dulu tentang pembangunan di kawasan perbatasan negara, waktu itu beliau mengatakan pembangunan kawasan tersebut dapat menyumbang sektor ekonomi kepada negara selain hubungan dua hala dengan Thailand.
"Adakah projek yang dijanjikan itu tamat begitu sahaja apabila jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh orang lain," jelasnya ketika membahaskan Bajet 2012 di Parlimen hari ini.
Tambahnya lagi, bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pandangan pertama memang begitu cantik tetapi tidak kepada perlaksanaan.
"Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah kehidupan rakyat, sepatutnya taraf kehidupan rakyat terus terbela apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang.
"Kita tidak mahu bajet 2012 ini pada pandangan pertama memang begitu cantik dipandang tetapi tidak pada perlaksanaan.
"Angka yang besar tetapi ia boleh diubah ikut kehendak pemerintah sedangkan rakyat di bawah yang tidak mendapat perhatian siapa yang mampu mengubah hidup mereka," tegasnya.
Beliau juga mahukan kerajaan dapat melaksanakan pembangunan ekonomi selaras dengan perkembangan ekonomi negara dan ini disebabkan kebanyakan rakyat sudah memperlihat bahawa negara ini sedang berada di ambang kemelesetan.
"Kesilapan pentadbiran kewangan negara akan membawa kita ke arah kemelesetan ekonomi, dan sekarang rakyat sudah mula berkata-kata dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Tanggungjawab yang besar perlu dilaksanakan dengan sempurna begitu juga hak rakyat pelbagai kaum dan jangan dijadikan bajet kali ini hanya untuk golongan tertentu.
"Selain itu juga kerajaan perlu menilai segala projek yang telah dijanjikan dapat dilaksanakan termasuk yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini," ujarnya lagi.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.