(Oleh: Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia seolah-olah menyembunyikan sesuatu melalui tindakannya menggunakan peraturan imigresen untuk menghantar pulang peguam Suaram dalam Ops Scorpene, William Bourdon pada Julai lalu.
Menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, William seolah-olah melakukan kesalahan serius hingga diusir dari negara ini, sedangkan Jabatan Imigresen sehingga hari ini gagal menyatakan sebab munasabah tindakan itu.
Melalui jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri, alasan penghantaran pulang William kerana kononnya kerana melanggar syarat pas lawatan sosial seperti yang termaktub dalam Seksyen 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Alasan ini terlalu umum. Kami cabar Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Jabatan Imigresen membuktikan kesalahan William,” kata Tian Chua pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau memaklumkan telah menghubungi William baru-baru ini dan peguam hak asasi Perancis itu menyatakan rasa tidak puas hati serta menuntut penjelasan kerajaan Malaysia.
“William hadir dalam majlis kutipan derma untuk membiayai dana perbicaraan skandal rasuah Scorpene. Sudah tentu dia tahu had ucapannya kerana perbicaraan belum lagi bermula. Dan perkara itu (maklumat ucapannya) belum disahkan.
“Ini mencemar nama baik William apabila kerajaan Malaysia menangkap peguam antarabangsa yang memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia,” tegas Tian.
Katanya, William dijangka akan mengambil tindakan lanjut tetapi tidak memaklumkan jenis dan waktunya.
“Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan Malaysia sangat takut dan ada sesuatu yang hendak disembunyikan,” jelas Tian.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.