Rakyat Malaysia boleh berterima kasih kepada Lynas Corporation, syarikat pelombong nadir bumi terbesar di Australia, kerana melalui kontroversi pembinaan kilang pemprosesannya di Kuantan, rakyat berpeluang bersatu dalam tuntutan untuk kerajaan yang bersih dan demokratik.
Walaupun persoalan teknikal dan saintifik nampak rumit bagi mereka yang tidak lazim mengkaji sains nuklear, namun fakta kes Lynas di Kuantan cukup mudah difahami semua. Lynas akan melombong bahan nadir bumi di Mount Weld dan mengangkut bahan lombongan itu sejauh 1,000 km ke bandar pelabuhan Freemantle.
Dari Freemantle, bahan tersebut akan diangkut atas kapal laut sejauh lebih 4,000 km ke Gebeng, Kuantan, di mana nadir bumi akan diproses di kilang mega yang terbesar dalam kelasnya di dunia. Siap diproses, bahan nadir bumi akan dieksport ke negara-negara berindustri teknologi tinggi untuk membuat alatan komunikasi, bateri kenderaan hybrid, dan sebagainya. Apakah yang akan ditinggalkan di Kuantan? Lebih tepat lagi, apakah yang akan ditinggalkan untuk penduduk Kuantan?Walaupun persoalan teknikal dan saintifik nampak rumit bagi mereka yang tidak lazim mengkaji sains nuklear, namun fakta kes Lynas di Kuantan cukup mudah difahami semua. Lynas akan melombong bahan nadir bumi di Mount Weld dan mengangkut bahan lombongan itu sejauh 1,000 km ke bandar pelabuhan Freemantle.
Selain peluang pekerjaan di kilang Lynas dan selain potensi meningkatkan KDNK sebanyak 1% setiap tahun, sisa toksik radioaktif akan ditinggalkan di Kuantan, untuk penduduk Kuantan. Pelbagai helah dipakai untuk menghalalkan operasi Lynas di Kuantan. Antaranya, Lynas berkata kadar bahan radioaktif dalam sisa toksik yang akan ditinggalkan sebenarnya teramat kecil sehingga boleh dinafikan kewujudannya. Kerajaan Barisan Nasional pula bertegas, projek Lynas selamat dan mematuhi segala undang-undang dan garis panduan keselamatan sedia ada.
Sementara itu, 700,000 penduduk dalam linkungan 30 km sekitar kilang Lynas di Gebeng pula masih belum mendapat jawapan, sisa buangan yang ditinggalkan akan dilupuskan di mana? Berapa lamakah tempoh hayat bahan radioaktif sebelum ia boleh selamat dilupuskan? Malangnya, Lynas dan kerajaan Malaysia tidak ingin berdepan dengan masalah perlupusan bahan sisa radioaktif. Lebih malang bagi penduduk Kuantan, mereka akan terpaksa hidup dengan ancaman keselamatan terhadap kesihatan mereka.
Sejarah menunjukkan kerajaan Malaysia melalui agensi pengawalannya Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pernah gagal. Di Papan dan Bukit Merah, parut yang ditinggalkan operasi pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth yang dimiliki Mitsubishi Chemical tidak boleh ditutup begitu sahaja. Sehingga hari ini, Mitsubishi Chemical masih lagi dalam usaha membersihkan tapak pembuangan sisa yang telah membawa pelbagai penderitaan kepada penduduk berhampiran.
Ada mereka yang menghidap barah berjenis-jenis, ada juga anak muda yang dilahirkan cacat. Semua ini hasil kegagalan kerajaan Malaysia menjamin "keselamatan rakyat didahulukan". Apakah kisah benar mereka akan dilupakan begitu sahaja? Bagaimana pula dengan operasi perlombongan emas di Raub yang menggunakan bahan bahaya Sianida? Di Broga, penduduk kampung telah melawan dan akhirnya berjaya menghalang pembinaan sebuah insinerator di kawasan berdekatan kediaman dan kebun buah-buahan mereka. Tetapi, insinerator sudah beroperasi di Cameron Highlands, pusat penanaman sayuran yang terpenting di Malaysia. Di Rawang pula, penduduk masih bergelut dengan TNB atas kontroversi projek pembinaan kabel elektrik bervoltan tinggi melalui kampung dan sekolah mereka. Ancaman krisis nuklear di Jepun baru-baru ini akibat kegagalan loji tenaga nuklear Fukushima turut dirasai seluruh dunia.
Formulanya tidak susah untuk difahami, dalam sesebuah demokrasi, pemerintah dipilih rakyat supaya menjaga kepentingan dan hak mereka. Maka, dalam keadaan negara kita semakin menyambut kedatangan industri dan teknologi yang kotor, menjadi tanggungjawab rakyat untuk mengingatkan semula pemerintah kita tentang peranan yang perlu dipikulnya dalam demokrasi Malaysia.
Saya percaya, penduduk Papan, Bukit Merah, Bukit Koman, Rawang, Broga, dan kini Kuantan memenuhi tanggungjawab demokratik mereka dengan begitu bersungguh-sungguh. Namun, rakyat Malaysia harus tahu, sekiranya kita tidak bersatu dengan mereka yang ditindas, akan satu hari nanti giliran kita dipijak. Oleh itu, kesedaran politik boleh bermula dengan kesedaran "hijau" yang semakin meluas dan radikal. Kita harus sedar, untuk selamatkan dunia, kita perlukan alternatif kepada ketamakan kelas kapitalis. Untuk selamatkan Malaysia, kita perlukan alternatif kepada kerakusan pemerintah yang sudah lupa sebab dia berkuasa.
Di masa dunia menghadapi krisis kewangan yang seolah-olah tiada berhenti; di masa dunia mula mengenali kemusnahan yang sudah terjadi; dan di masa rakyat di negara-negara Arab, Eropah, Amerika Latin, dan kini Amerika Syarikat bangkit menentang, rakyat Malaysia kini berpeluang mengenali penindas mereka yang sebenar.
Permusuhan kita tidak harus berlaku antara kaum-kaum yang berlainan mahupun antara rakyat beragama berlainan, tetapi antara rakyat seluruhnya dengan pemerintah dan kapitalis yang tamak haloba. Bagi mereka, suara bangkangan rakyat hanyalah halangan terhadap aktiviti pengumpulan kekayaan dia. Bagi mereka, rakyat bodoh tak faham kebaikan tenaga nuklear. Bagi mereka, penduduk Kuantan tak menghargai sisa-sisa radioaktif yang ditinggalkan. Bagi mereka, penduduk akan tetap mengundi dia.
Maka, untuk negara Malaysia diselamatkan, rakyat harus bersatu menyertai misi ini. Kita harus tanya, adakah kita kawan atau lawan Lynas? Siapa kawan Lynas? Siapa lawan Lynas? Kalau Barisan Nasional terus berkawan dengan Lynas, siapakah lawan bagi penduduk Kuantan? Sekiranya penduduk Kuantan ditindas, siapa kawan mereka? Mesej "selamatkan Malaysia, hentikan Lynas" harus dibawa ke setiap pelosok negara ini, kerana dengan solidariti rakyat seluruhnya, pemerintah dan kapitalis boleh ditumbangkan.
Kuantan Bersih, Malaysia Selamat. Agenda menghijaukan bumi kita tidak harus terhad kepada projek kitar semula, tetapi juga misi kita menolak industri-industri kotor dan berbahaya daripada bertapak di negara ini. Sehinggalah kapitalis dan pemerintah bertaubat, berubah, dan berhenti daripada menindas golongan bawahan, rakyat tidak ada sebab untuk percaya sisa radioaktif bagus untuk kehidupan mereka.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
sumber : Merdeka Review
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.