(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR : Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddim menyelar Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri kerana tidak memberi manfaat kepada golongan wanita.Berbanding Belanjawan Sejahtera Untuk Semua yang dikemukakan Pakatan Rakyat, katanya, ia jelas memberi keutamaan dan membela hak wanita khususnya golongan surirumah.
“Dalam belanjawan Pakatan (kita) akan beri elaun penjagaan anak kepada ibu-ibu yang layak. Malah pakatan juga akan melaksanakan bayaran kepada suri rumah bagi mengurangkan beban keluarga,” katanya kepada keadilandaily.com.
Pada 4 Oktober lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan Pakatan Rakyat yang antara lain memberi elaun penjagaan anak sebanyak RM1000 setahun
Manakala Suri Rumah juga diberi RM1000 bagi menggalakkan mereka menabung melalui Kumpulan Simpanan Pekerja, membabitkan peruntukan RM2 Bilion.
Ahli Parlimen Ampang itu turut membidas Belanjawan kerajaan yang hanya bersifat ‘one off’ dan tidak memberi manfaat bagi jangka masa panjang.
“Keseluruhan bajet ‘short term’, kerajaan langsung tidak ada keberanian untuk beri keselesaan pada rakyat. Kenapa Najib tidak berani menetapkan gaji minima sepertimana Pakatan?,” katanya merujuk syor gaji minima RM1,100 oleh Pakatan Rakyat yang memberi manfaat kepada 300,000 kakitangan awam.
Menerusi belanjawan yang dibentangkan, Pakatan Rakyat mengangkat penglibatan wanita sebanyak 55 peratus dalam tenaga kerja berbanding 43 peratus pada masa ini.
Bayaran tambahan (top up payment) diberikan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar, untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550.
Selain itu, lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak bertauliah ditubuhkan dengan insentif cukai bersesuaian dengan peruntukan RM3.6 bilion sebagai permulaan.
Ini tidak termasuk insentif tidak langsung melalui program latihan dan seumpamanya seperti yang ditetapkan dalam Belanjawan Sejahtera.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar sebelum ini menjelaskan penyertaan 43 peratus golongan wanita dalam sektor tenaga kerja di Malaysia antara yang terendah di Asia.
“Berbanding Pakatan Rakyat, kerajaan Barisan Nasional tidak komited untuk membela nasib wanita.
“Pindaan terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga (2011) adalah contoh tertundanya pemerkasaan terhadap hak-hak wanita. Pindaan mengambil masa yang begitu lama sebelum akhirnya diluluskan.
“Sedangkan di Selangor, cuti bersalin 3 bulan (diberi) untuk kakitangan wanita kerajaan negeri, termasuk lantikan ke jawatan-jawatan penting seperti yang dibuat di Pulau Pinang,” kata Izzah.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.