Pengumuman "transformasi politik" oleh Perdana Menteri Najib Razak sempena Hari Malaysia diberi liputan positif dalam akhbar bahasa Cina, meskipun antaranya yang masih khuatir dengan "pengganti ISA". Langkah ini ditafsir sebagai senjata PRU 13 untuk meraih undi rakyat yang mendahagakan demokrasi, pada masa yang sama menggesa agar pembaharuan ini dilaksanakan segera.
Tidak banyak "pertikaian" terhadap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah beberapa akhbar Cina menemuramah bekas tahanan ISA, yang sempat mengisahkan pengalaman mereka ketika penahanan. Seorang bekas tahanan ketika diwawancara Kwong Wah Yit Poh, menyifatkan pengumuman ini bagaikan "musim bunga" yang lewat. Sungguhpun demikian, ia tetap "musim bunga" yang dialu-alukan, katanya.
Keluhan bekas tahanan
Sinchew Daily pula menemuramah Tan Khai Hee, bekas pemimpin Parti Buruh yang ditahan pada tahun 1965, di bawah Ordinan Darurat selama lapan. Beliau berkata penahanan tanpa perbicaraan ini menyebabkan ramai yang tidak berdosa dikurung, malah terdapat mangsa yang membunuh diri ketika dalam penahanan kerana gagal menahan penderitaan. Tan Khai Hee berharap mereka akan diberi keadilan dan pampasan, menyusuli langkah pemansuhan akta-akta tersebut.
Malah, wartawan Sinchew Daily, Tan Hoon Cheng yang pernah ditahan untuk 18 jam di bawah ISA, tiga tahun yang lalu, menulis bahawa pemansuhan ISA adalah impian rakyat yang mencintai keadilan, kesaksamaan dan demokrasi. Beliau melontarkan kekhuatiran selanjutnya, sama ada semua tahanan akan dibicarakan secara adil dan telus?
Bagaimanapun, beliau berkata, keikhlasan Najib masih menunggu masa untuk dibuktikan, tetapi sekurang-kurangnya langkah ini memperlihatkan bahawa kerajaan telah menyedari hasrat rakyat. Tan Hoon Cheng berkata, apa yang memahat hatinya tiga tahun yang lalu bukanlah penahanannya selama 18 jam, tetapi sokongan daripada seluruh masyarakat tanpa mengira parti politik terhadapnya ketika itu. "Tiga tahun selepas itu, pada hari ini, semangat ini tidak luntur, malah semakin menyemarak, sehingga hari-hari yang benar-benar baik menjelang..."
Menjana transformasi politik Najib
Sinchew Daily memuji keberanian langkah Najib Razak melalui satu tulisan Timbalan Ketua Pengarangnya, Tay Tian Yan, yang disiarkan pada muka surat ke-3, terbitannya pada 17 September. Dalam tulisan Tay Tian Yan yang berjudul "Menjana transformasi politik: Memansuhkan akta zalim yang wujud untuk setengah abad", Tay menganggap "...momentum yang menggerakkan perubahan ini termasuklah keberanian Najib dan kemampuannya untuk berpandangan jauh; digerakkan oleh mereka yang lebih terbuka sikapnya dalam parti; desakan daripada pembangkang; fenomena 9 Julai, malah hasrat dan impian kebanyakan orang."
"Inilah demokrasi yang sebenarnya, dan juga masa depan Malaysia," simpulnya.
Tay Tian Yan menganggap Najib memperolehi mesej yang tepat daripada gerakan BERSIH 2.0, lantas mengambil keputusan untuk menjana transformasi politik - menggantikan pertentangan dengan dialog, menggantikan sekatan dengan keterbukaan, dan mengatasi authoritarian dengan demokrasi.
Malah, beliau berkata perubahan yang mendadak ini menyebabkan Najib tersepit antara golongan sayap kanan seperti PERKASA, dengan golongan yang "membantah segala-galanya". Namun, ruang untuk perbezaan pendapat harus dibenarkan sepanjang usaha kerajaan menggerakkan pendemokrasian masyarakat, katanya. Beliau menambah, apa yang penting adalah prestasi yang ditunjukkan Najib dalam usaha-usaha ini, agar rakyat yakin dengan pemerintahan Najib.
Dalam satu lagi artikel kolumnya pada 19 September 2011, Tay Tian Yan menganggap Najib mengambil risiko untuk mengorak langkah perubahan ini, dan meletakkan integriti dirinya, malah masa depan Barisan Nasional pada "pembaharuan" ini. Beliau berkata Najib dan BN tidak mempunyai pilihan, tetapi mengotai janji-janjinya dengan ikhlas.
Seorang lagi Timbalan Ketua Pengarang Sinchew Daily, Lim Sue Goan, dalam satu artikel kolumnya pada 19 September, menjangka langkah Najib ini mampu mengembalikan sebahagian keyakinan sebahagian pengundi muda dan pengundi yang berada di atas pagar, malah merampas semula kuasa kerajaan negeri Selangor. Beliau berkata Najib tidak mahu mengulangi langkah bekas PM Abdullah Ahmad Badawi, yang gagal mengotakan janji beliau ketika ditaruh harapan tinggi selepas PRU pada tahun 2004.
Lim Sue Goan memetik Lee Kuan Yew, Minister Mentor Singapura yang menyifatkan Najib sebagai seorang "PM yang ingin melakukan sesuatu". "Realiti membuktikan bahawa Lee Kuan Yew tidak tersilap dalam pandangannya. Pada saat-saat Najib dianggap terbelenggu oleh kuasa konservatif dalam partinya, dengan reformasinya yang tidak ke depan, beliau pula membuat pengumuman untuk memansuhkan ISA," tulis Lim Sue Goan.
ISA dimansuhkan selepas PRU?
Tidak kurang yang menafsir langkah Najib ini sebagai strateginya berdepan dengan PRU 13 yang bakal diadakan tidak lama lagi. Dalam satu wawancara bersama Oriental Daily, penganalisa politik Cheah See Kian menganggap Najib bakal membubarkan parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2012, dan hanya akan melaksanakan pembaharuan ini selepas pilihan raya umum.
"Seandainya beliau menyempurnakan semua pembaharuan yang dikemukakannya, dan mengumumkan PRU selepasnya, maka ia tidak boleh dijadikan modal dalam pilihan raya lagi," kata Cheah See Kian.
Namun demikian, seorang lagi penganalisa politik, Wong Chin Huat tidak berkongsi "ramalan" tersebut. Wong meramalkan PRU pada tahun depan, atau lebih lewat daripada itu. Ini kerana langkahnya akan diperlambatkan apabila diterjemahkan ke dalam prosedur.
Dalam satu wawancaranya bersama Kwong Wah Yit Poh, Wong Chin Huat menjangka pengumuman ini mungkin mengundang "konflik" dalam UMNO. Beliau melontarkan kemusykilannya, sama ada keputusan ini mendapat restu dalam BN, terutamanya mantan PM Mahathir Mohamad?
Bagaimanapun, Wong Chin Huat menganggap Pakatan Rakyat perlu mempertingkatkan dirinya untuk berdepan dengan cabaran dari BN, kerana "tuntutan pemansuhan ISA" bukan lagi senjata Pakatan Rakyat.
PR Hilang senjata
Dalam satu wawancara bersama Oriental Daily yang disiarkan pada 17 September, Josh Hong berkongsi pandangan yang sama dengan Wong Chin Huat, iaitu menganggap langkah Najib ini bakal mendesak Pakatan Rakyat untuk mencari lebih banyak kesilapan dalam dasar BN, memperkasa hujah politiknya, dan tidak boleh lagi menggunakan strategi "mansuhkan ISA" untuk meraih simpati.
Josh Hong turut menganggap kerajaan sanggup berganjak langkah kali ini kerana desakan rakyat yang sudah mempunyai kesedaran politik yang tinggi. "Ini strategi Najib untuk mengembalikan popularitinya yang menjunam sebelum ini, menurut satu soal selidik, kerana beliau tersilap anggarannya ketidakpuasan rakyat terhadap dirinya," kata Josh Hong.
Profesor di Universiti Monash, James Chin pula tidak bersikap positif dengan langkah Najib. Ketika dihubungi Oriental Daily, James Chin berkata penduduk bandar telah jemu dengan prestasi kerajaan BN, dan penduduk kampung pula tidak berminat dengan wujud atau mansuhnya akta sedemikian. "Langkah ini dipercayai hanya memperbaiki imej Najib di luar negeri, satu penyelesaian untuk tujuan diplomasi," katanya.
*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar bahasa Cina yang dirujuk bertarikh dari 17 hingga 19 September 2011, selepas PM Najib Razak mengumumkan pemansuhan ISA dan beberapa pindaan dalam akta yang menyekat kebebasan dan demokrasi.
sumber : Merdeka Review
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.