Dalam beberapa hari selepas Perdana Menteri Najib Razak memberi perutusan "perubahan" sempena sambutan Hari Malaysia ke-48 baru-baru ini, pelbagai pandangan dan ulasan terutamanya daripada pemimpin politik baik daripada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat memberi perspektif kepada kelangsungan demokrasi negara ini.

Sesungguhnya, perubahan yang dibawa Najib kini terhad kepada kandungan perutusannya pada malam 15 September 2011. Kata-kata manis kalau tidak dikotakan, lama-lama jadi basi juga. Buat masa ini, pengumuman yang dibuat dalam ucapan tersebut tidak membawa sebarang kesan selain memberi peluang kepada kakitangan Najib terus berusaha demi agenda penjenamaannya.
Setiap hari, rakyat pasti terbaca, terlihat, atau terdengar khabar mengenai cubaan-cubaan "Bapa Transformasi" membawa perubahan. Setiap masa juga, kita dipujuk supaya jangan bimbang, sebab keselamatan negara dan ketenteraman awam masih terjamin di bawah jagaan kerajaan BN.

Daripada respons Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz, saya bilang ramai yang akan kecewa sekiranya mereka menabur harapan terhadap janji-janji perubahan Najib. Bagi mereka yang sudah berpuluh tahun melawan ketidakadilan dan memperjuangkan kebebasan, tiada sebarang isyarat yang menunjukkan pihak lawan sudah bersedia berubah. Di atas jalan menuntut demokrasi, sifat semulajadi rejim yang tamakkan kuasa perlu dianggap sebagai suatu pemalar. Yang pasti, satu ucapan sepanjang 2,433 patah perkataan oleh ketua rejim tidak mungkin bertindak sebagai pembolehubah ataupun pemangkin yang cukup kuat untuk menghapuskan kekangan-kekangan sedia ada.

Jelas, Najib tidak memberi sebarang kredit kepada pejuang demokrasi dalam ucapannya. Baginya, mereka yang melawan kerajaannya dan partinya bukan kawan. "Kami dengar Suara Rakyat! Kami mohon Maaf! Kami mahu Ubah!" tidak ada dalam frasa-frasa perutusannya. Sebaliknya, janjinya untuk memansuhkan akta-akta zalim seolah-olah diilhami dirinya. Tidak dinafikan, ada kemungkinan idea ini hasil daripada perbualan dengan isteri tersayang dalam kamar tidur. Namun, kekurangan konteks dalam cadangan Najib untuk membawa perubahan cukup untuk kita mengukur sejauh mana beliau ikhlas dalam perjuangan demokrasi Malaysia.


Semua komen tersebut dibuat pasca perutusan "perubahan" Najib. Nada Menteri-menteri dalam Kabinet Najib langsung tidak mencerminkan sebarang komitmen terhadap pendemokrasian negara ini. Pelbagai prasyarat yang diletakkan atas janji Najib mencemarkan lagi perutusan perubahannya. Nampaknya, Barisan tidak akan menerima keadaan di mana kekuasaan mereka boleh dicabar. Sesungguhnya, bolehkah kita mendakwa diri memiliki demokrasi yang terbaik di dunia tanpa pernah berlakunya pertukaran kerajaan?
Ideologi "kita demokratik, jangan berani kau persoalkan!" terus menjadi jurang antara Barisan dengan demokrasi. Rakyat ada yang mungkin sudah biasa dengan sifat "cakap tak serupa bikin" pemerintah dan menerima perkara ini sebagai hakikat demokrasi Malaysia. Tetapi, untuk Malaysia mengambil langkah ke depan, rakyat perlu bangkit mencabar pengaturan ini. Rakyat perlu beranikan diri dan menuntut kembali hak-hak mereka yang dizalimi selama ini. Justeru, proses ini tidak berubah hanya dengan sebuah perutusan.
Sebuah perutusan tidak mengembalikan kuasa rakyat. Janji manis tidak menjamin kebebasan rakyat. 2,433 patah perkataan tidak akan membebaskan media. Penggantian ISA tidak akan memulangkan keadilan kepada tahanan yang tidak pernah dibicarakan. Demokrasi yang diucapkan tidak akan kesampaian kerana Najib dan Barisan Nasional tidak akan bertukar haluan.
Baca: Perutusan Khas PM sempena Hari Malaysia 2011
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang
sumber : Merdeka Review
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.