Jawabnya agak 18SX sedikit ya, wahai
pembaca terhormat: mahkota wanita. Saya berasa amat terpanggil untuk
membicarakan topik martabat wanita di masyarakat Malaysia sekarang
sehingga teka-teki yang kurang menyenangkan ini saya sanggup kongsikan.
Martabat wanita Malaysia nak dikatakan maju; mewakili parlimen dan CEO
syarikat-syarikat besar sebanyak 50% pun tidak, dilarang daripada
memandu kereta pun tidak. Yang pasti, khalayak ramai tetap percaya
bahawa mahkota wanita terletak di tempat mana paha seorang perempuan
bertemu. Di situ dan begitulah kehormatan dan kebanggaan seorang
perempuan.
Sepanjang kewujudan tamadun manusia, raja-raja
permaisuri dan sultan-sultan berperang, bertumpah darah mempertahankan
kerajaan - dan mahkota - mereka, simbol kekuasaan mereka. Tetapi bagi
kaum perempuan Malaysia hari ini, termasuk raja permaisuri kini agaknya,
mahkota mereka tidak boleh dipakai secara literal dan "diserahkan"
kepada "jejaka idaman" mereka begitu sahaja. Bukankah itu simbolisme
kekalahan wanita, di atas ranjang malam pertama?Seperti ramai yang sudah tahu, filem "box office" yang menutup tirai 2011 sudah tentu "Ombak Rindu", sebuah filem arahan Osman Ali yang mendapat sambutan hangat di Malaysia. Fenomena ini cukup mengerikan untuk saya. Bagi saya, jika filem yang mensyahdukan perkosaan boleh dijadikan filem "hit" dan dilabelkan romantik dan mengasyikkan, ini bermakna masyarakat kita sebenarnya menyanjungi keganasan terhadap wanita dan di bawah sedar, betul-betul membencikan wanita. Adakah kesengsaraan wanita begitu mengasyikkan? Adakah keperitan dan trauma wanita sangat romantik?
Di Malaysia, kita dibanjiri dengan laporan rogol setiap hari. Yang menyeramkan, kesnya bercorak sama: pesalahnya hampir selalu lelaki, mangsanya hampir selalu perempuan dan ramai mengenali perogol mereka, sama ada bapa sendiri, bapa tiri / saudara, jiran, teman lelaki, atau rakan sekerja. Tahun 2010 mencatat jumlah laporan rogol yang tertinggi di tanahair. Jika kita begitu bangga dengan tahap kemajuan negara yang dilambangkan pula dengan pencakar langit yang cukup phallik simbolismenya, mengapa jenayah yang bersifat kebinatangan kian meningkat? Perkosaan sudah lama menjadi kebiasaan di Malaysia kerana sebagai masyarakat kita percaya kaum laki-laki sukar mengawal nafsu kerana keinginan seks mereka secara lahiriahnya tinggi. Manakala perempuan tidak, kita hanya boleh mempertahankan "mahkota" kita atau seperti watak Izzah dalam Ombak Rindu, pasrah sahaja.
Satu lagi kes yang mengkecoh lagi mengheboh bergaya kampungan urban adalah tentang saudari Nur Amalina Che Bakri, seorang pelajar cemerlang yang kini dilihat dalam gambar-gambar foto terbarunya tanpa tudung. Jujurnya, saya sendiri pun tidak mengerti akan magnitud kekecohannya. Saya sering melihat muka makcik-makcik dan mak saya yang tidak dibingkai tudung, tidak pernah sesekali pun saya menyangsikan perilaku dan iman mereka. Sudah menjadi satu subjek yang "taboo" bagi Muslimah Melayu yang dulunya tertudung tetapi memilih kehidupan sans tudung. Ini tidak bermakna orangnya tersesat daripada jalan yang direstui, meninggalkan solatnya, tidak berpuasa, dan sebagainya. Biarkan saudari Nur Amalina bahagia dengan jalan hidupnya dan hormatilah pilihannya untuk tidak bertudung.
Kita tahu Malaysia bukannya negara penindas wanita No. 1 kerana kita tidak berarak berhimpun di jalanan mendesak kerajaan untuk mengakhiri penghinaan dan perkosaan terhadap perempuan. Kita pula tidak perlu terkejut jika didapati lebih banyak negara lain yang kita anggapkan "maju" mempunyai sikap oppresif yang boleh mengalah zaman jahiliyah.
Contohnya di Amerika Syarikat, beberapa organisasi telah berkempen untuk mendakwa wanita yang mengakhiri kehamilan mereka sebagai pembunuh janin dalam kandungan mereka. Ahli politik Republikan yang berkempen untuk kerusi Presiden AS, Newt Gingrich, bercadang untuk menyekat kebebasan untuk menggugurkan janin walaupun dalam keadaan darurat (mangsa rogol dan sumbang mahram, misalnya). Di United Kingdom pula, daripada ratusan kes perkosaan yang telah berlaku pada tahun 2010, hanya 6% sahaja daripada penjenayah dihukum penjara. 94% daripada perogol yang lain bebas berjalan di kalangan masyarakat dan mengulangi jenayah, bakal perogol pula yakin dia juga boleh melakukan yang sama. Perwakilan wanita dalam arena politik negara Britain - antara negara-negara yang paling berkuasa di muka bumi ini - teramat menyedihkan, tidak jauh beza daripada negara kita sendiri.
Di negara-negara seperti Iran dan Pakistan, hukuman rejam sehingga mati atas kesalahan "zina" lebih banyak meragut nyawa wanita dan perempuan di bawah umur. Sama ada ini mencerminkan sistem kehakiman mereka yang mendaulatkan keadilan atau dipengaruhi budaya patriarkal yang suka menindas orang-orang perempuan adalah satu tanda tanya yang besar dan perlu disiasat.
Walaupun Malaysia diposisikan di antara negara-negara di mana undang-undangnya ternyata cukup menindas wanita dan negara yang secara tersiratnya menindas kaum wanitanya, kita sebagai rakyat masih segan silu menyuarakan rasa tidak puas hati kita tentang rendahnya martabat wanita Malaysia. Jika diberikan contoh wanita yang berjaya dan berpangkat tinggi memang ada, tetapi mengapa pula wanita tidak mengira darjat mudah sahaja dijatuhkan dengan fitnah, gosip, status perkahwinan (dan dara), deraan, dan keganasan seksual? Kerana martabat wanita masyarakat Malaysia sebenarnya masih rapuh kerana stereotaip wanita yang mudah teremosi, lemah, dan paling sempurna hanya sebagai ibu dan isteri orang begitu mendalam dalam budaya kita. Ya, tidak semua dalam budaya kita perlu kita rasa bangga dan sanjung.
Dalam masyarakat yang menghargai wanita sebagai pekerja, pemimpin, pendakwah, pejuang, dan individu yang serba kebolehan, kita tidak boleh menyamakan wanita sebagai kilang bayi atau objek untuk kepuasan seks lelaki semata-mata. Tidak pernah pula kita mendengar "mahkota" lelaki terletak di wilayah kemaluannya kerana kesucian mereka bukan isu seksualiti atau keterunaan mereka. Buat tahun baru ini, kita perlu mengubah cara kita lihat, mendengar, bertutur, dan berkelakuan dengan kesemua orang yang bergelar diri perempuan. Jangan kita abaikan penindasan yang berlaku saban hari – gangguan dan keganasan seksual, disrkiminasi gender, stereotaip - penindasan yang sering dianggap kecil, berterusan, dan tidak boleh dibasmi. Keadilan gender di peringkat sosial dan seharian adalah tanggungjawab bersama, bukannya dipikul wanita dan anak-anak perempuan sahaja.
*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.