KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said hari ini menggesa anak muda bangkit meneraju perubahan rejim bagi mengembalikan demokrasi kepada rakyat.
Seruan itu dibuatnya kerana kecewa dengan tindakan Umno BN meluluskan Akta Himpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat 29 November lalu.
“Perubahan regim hanya berkemungkinan di tangan anak muda,” kata Sasterawan Negara itu yang lebih mesra sebagai Pak Samad.
Beliau membuat seruan itu pada satu majlis bacaan puisi membantah akta itu di Taman KLCC petang tadi.
Majlis itu berlangsung secara ringkas namun disertai lebih 300 orang sebelum ia diganggu pihak keselamatan KLCC yang cuba menghentikan majlis tersebut.
Beliau berkata kerajaan kini terlalu takut dengan rakyat kebanyakan sehingga menyekat mereka yang hanya mahu menyampaikan suara hati dengan berhimpun secara aman.
“Kalau dihalang itu bukan bererti demokrasi.
“Kalau ini dibiarkan, masyarakat akan jadi masyarakat yang takut, tidak berani bagi fikiran, dan terus di bawah jajahan.
“Kita mahukan perubahan rejim (regime change), bukan sekadar ‘game change’ (seperti dilaungkan Najib) ” kata Pak Samad.
Pihak keselamatan KLCC pada mulanya bertindak memasang pemancut air di tempat orang ramai berkumpul namun tindakan itu gagal menyuraikan orang ramai.
Pada majlis ringkas itu Pak Samad mendeklamasikan tiga sajak. Sajak pertama bertajuk ‘Unggun Bersih’ yang dimuatkan dalam antologi ‘Puisi Jadi Senjata’ ditulis beliau sempena himpunan Bersih pada bulan Julai lalu.
Sajak kedua yang dideklamasikannya pula adalah ‘Merindu Ruang’ – sajak yang baru digarapnya sebagai tanda protes kepada Akta Himpunan Aman 2011.
Pak Samad kemudian menjemput anak muda yang hadir untuk turut sama menyatakan bantahan kepada Akta Himpunan Aman 2011 itu untuk turut sama mendeklamasikan sajak dari antologi ‘Puisi Jadi Senjata’ sebelum majlis itu diganggu pihak keselamatan KLCC yang mendesak ia dihentikan.
Pak Samad yang sedikit pun tidak gentar dengan intimidasi itu kemudiannya mendeklamasikan satu lagi puisi beliau berjudul ‘Jahit Bendera’.
Majlis itu berakhir pada kira-kira jam 3 petang.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.