SHAH ALAM, Nov 3 : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyifatkan perbahasan dari wakil Selangor Datuk Johan Abdul Aziz kononnya pentadbiran Pakatan
Rakyat di Selangor lemah dan terdapat pelbagai penyelewengan di Perhimpunan Agung Umno semalam sebagai tidak berasas malah fitnah semata-mata.
Timbalan Ketua AMK Selangor, Muhammad Najmi Samsudin menjelaskan Umno sebenarnya sudah kehabisan isu besar untuk menawan balik Selangor pada pilihanraya
nanti.
“Bagi saya apa yang dikatakan oleh Johan itu tidak berasas malah tiada bukti langsung serta bersifat fitnah semata-mata,
“Apa yang dikata oleh beliau amat berbeza sekali dengan apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat disini, banyak kebaikan yang telah berjaya
dilakukan terutama agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.”
“Mereka cuba diungkit kembali isu lama sedangkan kita tahu rakyat sudah mula menolak Umno-Barisan Nasional apatah lagi setelah berlaku skandal isu Pusat Fidlot
Kebangsaan (NFC),” jelasnya kepada keadilandaily.
Beliau juga menambah Umno dilihat menyebar fitnah dengan memutarbelit tentang pemberian lesen pusat hiburan kononnya Pakatan Rakyat menjadikan Selangor
sebagai pusat maksiat.
“Saya selaku Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ingin menekankan angka-angka yang beliau katakan itu tidak benar dan apa yang diketahui
sehingga sekarang tiada lesen hiburan terbaru dikeluarkan.
“Malah pusat hiburan yang sedia ada semuanya diluluskan semasa Umno-BN memerintah, angka empat ribu pusat hiburan itu tidak tepat dan hanya fitnah jahat Umno.
“Penguatkuasaan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pusat hiburan berlesen beroperasi mengikut arahan dan yang tidak berlesen disita
sepenuhnya,” sambungnya lagi.
Najmi juga Ahli Majlis Pimpinan AMK Pusat menambah, perwakilan Umno di sepanjang persidangan seolah-olah tidak membincangkan perkara serius mengenai
agenda membangunkan rakyat dan hanya sibuk menyerang Pakatan Rakyat
“Selain Umno bersikap rasis perkauman kita juga melihat mereka memainkan isu Pakatan Rakyat tidak menghormati Sultan dan semua ini hanyalah untuk menarik orang
Melayu mengundi mereka.
Beliau memberitahu jika Umno membesarkan isu perkauman bersifat rasis sehingga menyebabkan timbul ketidak puashatian dari kaum lain dan menyebabkan berlaku
sesuatu yang tidak diingini maka Umno perlu dipertanggungjawabkan dan jangan cuba menuduh Pakatan Rakyat.
“Saya cabar Johan tampil secara berdepan dan kemukakan bukti jika apa yang beliau katakan itu benar, AMK Selangor sedia berhadapan dengannya dengan bukti-bukti
bahawa apa yang dikatakannya semuanya menipu dan fitnah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.