KUALA LUMPUR, 11 Dis: Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah kerana merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberikan autonomi.
Setiausaha Akhbar Aksi, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham menyatakan demikian sebagai respons terhadap pelbagai reaksi mengenai debat yang mereka anjurkan di Universiti Malaya, kelmarin.
Antaranya daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusuf yang meminta bahagian keselamatan untuk memberhentikannya kerana penganjur telah melanggar kesalahan universiti di atas sebab tidak meminta kebenaran daripada pihak HEP sendiri.
Tambahnya, tindakan itu tidak menunjukkan keprofesionalan beliau dan memalukan profesyen pensyarah serta ahli akademik umumnya.
Di atas paksi kebebasan berakademik, kata beliau sewajarnya pihak universiti menyambut baik program yang kami anjurkan kerana ia adalah untuk mematangkan konsep ilmiah dalam minda mahasiswa itu sendiri.
“Dan kami berasa hairan mengenai program forum yang dianjurkan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) sendiri pada dua hari sebelum debat ini berjalan, mengapa pihak universiti memberi kebenaran untuk dilaksanakannya?
“Adakah pihak universiti takut dengan memberi autoriti kepada panel-panel dalam forum itu?” soalnya.
Justeru, katanya Aksi berasa janggal terdapat sebuah universiti yang gah namanya pada suatu ketika dahulu, kini seakannya mahu mengekang mahasiswa dari terus bersuara dan melontarkan idea, malah dimomokkan dengan Auku itu sendiri.
Pihaknya, kata beliau mendapat respons mengenai pembatalan tempat di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang UM selepas Speaker Corner di Masjid Ar-Rahman UM selepas solat Jumaat kira-kira jam 4 petang.
Walau bagaimanapun, katanya Aksi tetap meneruskannya di sebelah perpustakaan Fakulti Undang-undang yang kecil ruangnya dan kami begitu teruja dengan kehadiran kira-kira 300 orang mahasiswa serta mahasiswi walaupun program kami disabotaj sebegitu rupa.
Lantaran dari provokasi itu, ujarnya Datuk Saifuddin Abdullah dalam laman twitternya berasa dukacita debat Auku di UM terbatal ketika ia sedang dijalankan dan beliau akan menyiasatnya.
“Aksi menyambut baik kenyataan beliau itu kerana kami merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberikan autonomi,” ujarnya lagi.
Ini, katanya berbeza dengan TNC HEP UM yang mendidik mahasiswa dengan mengagungkan birokrasi yang rumit daripada konsep ilmiah itu sendiri lalu menghalang mahasiswa dan tidak meminta penjelasan daripada mahasiswa.
“Tujuan kami hanya satu iaitu perbincangan ilmiah serta mahukan percambahan idea daripada mahasiswa kepada mahasiswa sendiri dan sebab itulah kami menganjurkan debat kelmarin,” katanya.
Oleh sebab itu, ujarnya lagi Aksi seiring dengan pendirian Bebas yang mahukan autonomi sepenuhnya kepada mahasiswa.
“Kami mahu mengingatkan tangan-tangan yang tidak sepatutnya agar tidak memandomkan minda mahasiswa sendiri dari terus matang dan mampu menilai serta menjadi agen perubahan sedangkan ‘anak kecil bermain api, terbakar hatinya yang suci’, begitu jugalah kami di pihak mahasiswa yang menginginkan perubahan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.