KUALA TERENGGANU, 11 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) merasa kecewa dan kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berhubung pertikaian Enakmen Kanun Jenayah Syariah Terengganu dan Kelantan khususnya berkaitan meliwat isteri dan kesalahan rogol seperti mana dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian edisi 9 Disember lalu.
Timbalan ketuanya, Ridzuan Hashim berkata, DPPNT mendapati MB telah gagal memahami enakmen tersebut secara menyeluruh sedangkan sudah berkali-kali diterangkan oleh banyak pihak khususnya dari PAS sendiri bahawa yang dimaksudkan perkataan “selain dari isterinya” bagi kes liwat bukan bermaksud pengecualian dari sudut pengharusan di mana suami boleh meliwat isteri, tetapi ianya adalah pengecualian dari disabitkan di bawah kesalahan hudud.
Katanya, perbuatan suami meliwat isteri tetap salah, tetapi ianya disabitkan dibawah kesalahan ta’zir.
Jelasnya, bagi seseorang wanita yang hamil atau melahirkan anak sebelum berkahwin tidaklah terus disabitkan di bawah hukuman zina seperti didakwa Ahmad.
“Ini kerana dalam enakmen jelas menyebut bahawa jika perempuan tersebut dapat membuktikan dirinya dirogol, maka dia tidak akan disabitkan dengan kesalahan zina,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini.
Perkara 46 (2) Kanun Jenayah Syariah Kelantan menyebut:
“Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan MELAINKAN jika dia dapat membuktikan sebaliknya.”
Ini, ujarnya membuktikan Ahmad Said tidak membaca enakmen tersebut secara menyeluruh dan mendapat nasihat yang salah dari penasihat agamanya.
Seharusnya, kata beliau sebagai seorang yang kurang arif dalam agama, Ahmad sewajarnya mendapatkan penasihat agama yang betul dan arif tentang agama.
Ahmad Said juga, tambah beliau seharusnya sedar bahawa Enakmen Jenayah Syariah itu bukan digubal mengikut kehendak pimpinan PAS semata-mata, tetapi merujuk kepada sumber Al-Quran dan as-Sunnah serta pendapat para alim ulama terkemuka.
“Enakmen ini juga sudah diwartakan dan ditandatangani oleh Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.