PETALING JAYA 16 Dis: KEADILAN menggesa Kerajaan segera memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan bukan sekadar hanya meminda akta tersebut.
“Perdana Menteri mesti menunjukkan keazaman politik jika serius untuk menentang kebebasan dengan memansuhkan AUKU keseluruhannya dan memperkenalkan undang-undang baru yang menjamin otonomi universiti, pensyarah dan mahasiswa,” kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Izzah berkata, Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan Seksyen 15 AUKU akan dipinda untuk membenarkan mahasiswa aktif di dalam parti politik, namun dalam ucapan sama mengumumkan politik tetap akan diharamkan di kampus.
“Malangnya cadangan pindaan AUKU ini nampaknya sama seperti kegagalan agenda transformasi PM, Datuk Seri Najib Razak berhubung ISA dan Akta Perhimpunan Aman.
“Pengumumannya nampak berani pada mulanya tapi apabila diteliti sebenarnya masih meneruskan dasar-dasar lapuk yang sedia ada,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
Tambahnya, kekeliruan berlaku apabila yang terbaru 15 mahasiswa dari Solidariti Mahasiswa Malaysia yang mengadakan flash Mob di Kl Sentral ditangkap polis kerana membantah AUKU.
“Seksyen 15 merangkumi kebebasan persatuan mahasiswa namun seksyen lain membolehkan pemusatan kuasa pentadbiran universiti di Malaysia dan mengadakan prosedur disiplin yang tidak adil bagi kesalahan di bawah AUKU,” ujar nya.
Sementara itu KEADILAN turut menggesa agar negeri-negeri Pakatan Rakyat yang menguasai universiti dan kolej tertentu turut menunjukkan komitmen dalam kebebasan berakademik.
“Mahasiswa kritikal di dalam Kerajaan Negeri Kedah menghadapi isu Kolej Universiti Insaniah dan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil tindakan terhadap cadangan menjadikan Universiti Selangor sebagai institusi yang bebas AUKU dari segi semangatnya,”
“Komitmen kita untuk memansuhkan AUKU dan mengembalikan kebebasan akademik sudah wujud sekian lama dan terkandung di dalam Buku Jingga. Kita harus berbuat demikian di negeri Pakatan,” ujarnya.
Turut hadir dalam sidang media itu Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.