13 Dec 2011

Kampung Baru: Tahniah YB Mumtaz

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPK Titiwangsa) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YB Senator Mumtaz Md Nawi kerana berani menyuarakan pandangan rakyat mengenai isu Kampung Baru di Dewan Negara pada 7 Disember 2011. Bagi DPPK Titiwangsa dan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru, Keberanian YB Senator Mumtaz mengutarakan isu Kampung Baru menunjukkan keprihatinan kepemimpinan PAS dan Pakatan Rakyat terhadap isu yang amat dekat di hati rakyat itu.

Bagi mereka yang mendengar atau membaca ucapan beliau di Dewan Negara tempohari, sudah pasti merasa kagum kerana setiap bait fakta yang dikemukakan amat tepat, terperinci, mendalam serta relevan. Ucapan YB Mumtaz juga mengungkit kembali nostalgia almarhumah YB Dr Lo’Lo’ yang selama hayatnya amat gigih memperjuangkan isu ini. Keberanian dan kehebatan seorang wanita yang bangun menyatakan kebenaran memperjuangkan isu Kampung Baru tentunya amat membanggakan golongan wanita seluruh negara khususnya pemilik Kampung Baru.
Meskipun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru telah diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara, ianya menjadi saksi dan sejarah yang tertulis bahawa yang benar-benar memperjuangkan isu rakyat khususnya nasib orang Melayu di Parlimen dan Dewan Negara adalah wakil rakyat daripada PAS dan Pakatan Rakyat. Sementara wakil rakyat daripada Umno Barisan Nasional yang dianggap kononnya juara Melayu hanya menonton, bahkan menyokong usul ini diluluskan di kedua-dua dewan tersebut. DPPK Titiwangsa juga merasa kesal kerana pemimpin UMNO-BN tidak menghiraukan sedikitpun rayuan dan tuntutan daripada pemilik tanah Kampung Baru yang mahu RUU ini dibatalkan ataupun ditangguhkan dahulu sebelum perbincangan dibuat.

DPPK Titiwangsa mengharapkan, isu Kampung Baru terus menjadi agenda besar pemimpin tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat dan supaya ianya sentiasa dimainkan agar rakyat mengenali bahawa usaha mengembalikan semula hak rakyat yang telah diambil ini adalah usaha yang ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh. Akhirnya, DPPK Titiwangsa menegaskan hanya kuasa rakyat berupaya menafikan RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ini dari dikuatkuasakan, iaitu dengan menumbangkan Umno-BN dalam PRU ke 13 nanti.


MOHD SHAHIR BIN ABU HASSAN
Timbalan Ketua DPPK Titiwangsa

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.