17 Dec 2011

'Durian runtuh' hanya sekali, rugi RM2b setahun

  
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Jaminan Perdana Menteri untuk memberikan "durian runtuh" kepada para peneroka dari usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holding ke bursa saham ternyata hanyalah sebagai "gula-gula" kerana pemberian itu hanyalah dalam bentuk "one off", berbanding kerugian yang akan dialami Felda sebanyak RM1.5 hingga RM2 bilion setahun.

Sehubungan itu, Felda pasti akan mengalami masa depan yang cukup gelap selepas itu kerana pasti gagal melaksanakan pelbagai kebajikannya kepada para peneroka ekoran kerugian seteruk itu setiap tahun.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali berkata, sebaliknya janji tersebut hanyalah dibuat sebagai langkah bagi memudahkan rancangan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holding Bhd di bursa saham pada separuh pertama tahun 2012.

Menurutnya, dalam masa yang sama, jaminan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Ketua Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad bahawa Felda bakal dibayar RM1 bilion setahun selama 99 tahun bagi meneruskan aktiviti pertanian dan pembangunan sosio-ekonomi peneroka amat disangsikan.

Katanya, kesangsian itu mempunyai asas yang cukup kuat kerana tidak ada jaminan bertulis mengenai perkara tersebut dalam Perjanjian Pajakan tanah antara Felda dan Felda Global Ventures.

"Rekod buruk Felda Global Ventures itu sendiri pun sudah diketahui dengan jelas oleh orang ramai. Felda Global Ventures bukanlah sebuah syarikat yang diurus dengan baik.

"Syarikat itu telah mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit dalam pelaburan luar negara seperti pelaburan dalam Twin Rivers Technologies dan pembelian apartment di Mekah," katanya ketika dihubungi.

Ketua Eksekutif syarikat itu pula, menurut beliau, pernah disyaki terlibat dalam salah laku yang mengakibatkan kerugian RM120 juta di Syarikat Golden Hope Plantation Bhd.

"Setelah disiasat oleh KPMG Forensics, Ketua Eksekutif syarikat itu akhirnya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Penasihat Intergrasi Kumpulan Sime Darby, seperti dilaporkan dalam Straits Times bertarikh 11 Jun 2008 lalu," jelasnya.

Sehingga kini, tambahnya, Felda Global Ventures hanya memiliki 42,000 hektar tanah di Kalimantan yang masih dalam peringkat penanaman dan semaian.

"Jadi, untuk tujuan penyenaraian ini, Felda berhasrat untuk memajakkan 350,000 hektar tanahnya kepada Global Ventures. Memajakkan tanah Felda dengan tujuan penyenaraian ini adalah bertentangan dengan semangat Akta Kemajuan Tanah yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Razak," ujarnya.

Di peringkat ini, tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi perlu meneruskan segala perancangan yang telah dibuat ke arah penyenaraian itu, sebaliknya perlu dengan telus memberikan penjelasan yang lengkap kenapa Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Wahab diarahkan untuk mengambil cuti belajar selama lapan bulan?

"Sebelum ini, semasa Datuk Dzulkifli sedang melakukan umrah, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad merampas kuasa Pengerusi Permodalan Felda dengan melanggar Akta Koperasi melalui Agenda Khas Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda. Mengikut maklumat, perubahan struktur ini dirancang oleh Ketua Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad," katanya.

Beliau difahamkan tujuan perubahan itu dilakukan adalah untuk memungkinkan Isa mengambil tindakan meluluskan pelepasan pegangangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda dalam Felda Holdings dan merombak pengurusan dan ahli lembaga pengarah, mengetuai jawatankuasa pelaburan dan merubah polisi sedia ada yang menjaga kepentingan ahli koperasi.

Ia juga, tambahnya, untuk menutup mata kakitangan Felda yang menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda dari mengetahui bahawa mereka bakal kehilangan majoriti 55 peratus dalam saham Felda Holdings Bhd.

"Struktur selepas penyenaraian akan menyaksikan penguasaan saham Koperasi Permodalan Felda dalam Anak-anak Syarikat Felda susut kepada 30 peratus sahaja dan baki 70 peratus lagi ditawarkan kepada pelabur luar," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.