24 OKTOBER – Dalam Bajet Barisan Nasional 2012, jelas sekali kerajaan pusat berhasrat mahu memperalatkan golongan anak muda dengan menggula-gulakan mereka menerusi pelbagai pujukan, rayuan dan program.
Namun, dalam masa yang sama, golongan muda seolah-olah dipersalahkan pula. Menurut lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, lebih 6 juta belia, iaitu lebih separuh daripada jumlah golongan muda di Malaysia, didakwa menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat.
Laporan itu yang memetik kumpulan yang bernama Ikatan Muslimin Malaysia yang mendakwa membuat kajian melalui laman sosial Facebook dan Twitter, hasil ciptaan teknologi Barat, amat bimbang dengan fenomena berkenaan.
Apa yang kumpulan itu amat takutkan ialah golongan muda Malaysia akan “terbabit ke arah pemikiran secara liberal”!
Apakah tujuan sebenar perkara ini dibangkitkan?
Antara visi, misi dan fitrah
Objektif, visi dan misi di Malaysia ini, bukankah telah ditentukan oleh kerajaan dan institusi itu sendiri? Jika kita mahu anak muda mempunyai onjektif hidup, visi dan misi yang jelas, mengapa pula mereka dihalang dari berdikari dan menikmati kebebasan?
Bukankah hanya dengan melaksanakan sendiri apa-apa rancangan, program dan aktiviti maka anak muda ini akan mencipta visi dan misi itu sesuai dengan fikiran dan kehendaknya?
Tetapi di Malaysia, semua itu dilakarkan oleh kerajaan atau mereka yang sudah terlalu selesa dengan kuasa dan amat takut jika gaya hidup dan kemewahan mereka dicabar oleh golongan muda yang seringnya banyak membawa idea-idea baru.
Jadi mengapa pula anak muda dipersalahkan jika visi dan misi mereka tidak kena dengan kehendak kerajaan? Bukankah selama ini, anak muda terutamanya mahasiswa dihalang dari berprogram dan manjalankan aktiviti sendiri yang tidak mengikut telunjuk kerajaan?
Pada usia muda, seawal usia 15 tahun hingga kematangan 35 tahun sememangnya manusia itu sedang mengembara mengembangkan bakat, potensi, pengetahuan dan tidak terkecuali menerima pengaruh dari sesuatu perkara baik yang diminati, hatta yang dibencinya.
Golongan ini berada dalam proses menjadi insan yang matang, ianya adalah satu proses normal. Mereka amat dahagakan kebebasan untuk melahirkan kreativiti. Jadi di mana pula yang dikatakan krisis itu?
Apakah yang cuba dikatakan oleh kumpulan yang dilaporkan oleh lidah rasmi UMNO itu kononnya “”Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan hilang pedoman atau hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan.”
Adakah imej, aktiviti dan perlakuan anak muda yang sesuai dengan kehendak orang konservatif UMNO, maka itu dianggap selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan? Beginikah cara bijak pandai UMNO merumuskan jati diri atau identiti budaya anak muda?
Jika inilah yang dikatakan sebagai jati diri, memang sukar sekali mahu menjadi anak muda yang berfikiran waras dan terbuka di Malaysia ini. Serba-serbi apa yang mereka buat mesti harus mengikut imej, bentuk, hasil dan gaya seperti yang dikehendaki oleh golongan konservatif yang pantang ditegur.
UMNO benci liberal?
Ketakutan kepada apa yang dikatakan “liberal” sudah menjadi satu penyakit UMNO yang kronik, tiada ubatnya kecuali Tuhan yang Maha Pengasih, Penyayang dan Pemurah memberi hidayah kepada mereka.
Yang mereka katakan liberal berada di “tahap membimbangkan” ini samalah dengan kata-kata ancaman dan ugutan kepada masyarakat, seolah-olah ada satu jalur pemikiran yang maha berkuasa akan datang, mempengaruhi dan menelan bangsa jika kerajaan tidak bertindak segera.
Sedangkan makna istilah “liberal” amat jarang dibincang dan dibahaskan. Hari ini, perkataan “liberal” ini sudah boleh disamakan dengan perkataan “komunis”. UMNO dan ejen-ejennya amat suka dengan propaganda istilah yang menyesatkan orang ramai dari memahami asas dan dimensi konsep tersebut.
Kerja ini adalah sama dengan kerja propaganda Nazi di zaman Hitler yang memocongkan perkataan-perkataan mengenai hak dan kebebasan seperti liberty, freedom, demokrasi dan hak asasi, semata-mata untuk menghalalkan pemerintahan kuku besi. Akhirnya, rakyat Jerman tertipu dan hasilnya negara mereka hancur dalam kancah peperangan yang amat dahsyat lebih 60 tahun lalu.
Ingin juga kita tanya kepada para bijak pandai UMNO berkenaan dengan pemansuhan kekebalan Raja-Raja Melayu dahulu, bukankah ia juga berpunca dari semangat “demokrasi liberal”?
Bukankah dalam program Transformasi Ekonomi (ETP) Datuk Seri Najib Razak secara jelas telah menyebut konsep liberalisasi ekonomi.yang berteraskan prinsip kebebasan ekonomi?
Malah tak sampai seminggu yang lalu, Perdana Menteri mahu media massa memainkan peranan penting untuk proses perubahan Malaysia menuju negara bangsa yang lebih moden, progresif dan liberal.
Lupakah para bijak pandai UMNO tentang kata-kata tokoh pujaan mereka Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mewarwarkan Wawasan 2020 untuk “mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara”?
Memerangkap anak muda
Janganlah sekadar bijak bermain dengan istilah dengan harapan masyarakat akan mengikut rentak kotor. Masyarakat tidak akan lagi terkeliru dengan mainan istilah dan propaganda UMNO.
Walau apa pun nama wadah atau pertubuhan kumpulan konservatif yang takut kepada kebebasan dan hak asasi, apabila mereka menjadi rujukan atau pujaan Utusan sebagai suara UMNO, maka tidak perlu diselindung lagi agenda politik mereka yang berteraskan perkauman.
Anak muda semakin sedar bahawa usaha mempersalahkan golongan belia hanyalah helah supaya mereka akur dengan gula-gula politik, termasuk pujuk rayu Bajet BN 2012, yang hanya indah didengar.
Jika yang “dewasa” mudah digula-gulakan dengan projek dan program, anak muda yang lebih tinggi idealisme mereka, yang mahukan kebebasan bersuara, berekspresi dan berkreativiti, mereka tidak mudah tunduk dengan korupsi yang semakin menjadi budaya di kalangan manusia dewasa yang gah berkuasa. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.