(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 27 Okt: Jawatankuasa yang ditubuhkan Pakatan Rakyat untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010, akan membentangkan hasil laporannya pada minggu depan, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Hasil laporan Jawatankuasa itu akan diumumkan oleh Ketua Whip Ahli Parlimen KEADILAN yang juga Timbalan Presiden nya, Mohamed Azmin Ali.
“Antara fokus penting dalam jawatankuasa ini termasuklah meneliti tatakelola kewangan kerajaan pusat, 14 kerajaan negeri, 29 kementerian persekutuan dan lebih 50 agensi kerajaan.
“Jawatankuasa ini meneliti dan membanding sejauh mana wang rakyat dibazir atau dijimat dalam tatakelola kerajaan dan agensinya,” katanya yang turut menganggotai jawatankuasa itu.
Menurut Azan, LKAN 2010 sepatutnya sudah siap sejak Jun tahun ini.
Namun laporan itu hanya dikeluarkan pada 24 Oktober lalu dengan tertera perkataan ‘Embargo, tidak boleh dikeluarkan sebelum 10.00 pagi 24 Oktober 2011′.
Pakatan Rakyat menubuhkan jawatankuasa tersebut minggu lalu bagi mengkaji kandungan Laporan Ketua Audit Negara yang 17 hari lewat dikemukakan dari tarikh pembentangan Belanjawan 2012.
Selain itu, jawatankuasa terdiri dari lima ahli parlimen Pakatan Rakyat itu juga mengkaji punca kelewatan, selain membandingkannya dengan laporan lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut Azan, Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar ekonomi, peguam dan individu tertentu yang memiliki kepakaran masing-masing bagi mengkaji isi kandungan audit.
“Dari aspek pembaziran misalnya, kita melihat di mana punca dan perkaitannya dengan penyelewengan, ketidak cekapan kos dan rasuah.
“Selain mengkritik, jawatankuasa ini juga memberi pandangan dan cadangan penambahbaikan bagi mengatasi masalah itu sekaligus menamatkan defisit belanjawan negara,” katanya.
Cadangan itu termasuklah meminima pembaziran dan perbelanjaan kerajaan yang tidak perlu seperti diamal pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.