Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menilai tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terhadap Prof. Dr. Abdul Aziz Bari beberapa hari lalu - meminta surat tunjuk sebab dan menggantung tugas beliau - sebagai satu lagi manifestasi penerusan politik membuli dan campur tangan terhadap pelbagai institusi penting negara yang semakin mengggila sekarang ini. Gejala seburuk ini tidak mungkin berlaku di mana-mana negara yang dianggap maju dan tinggi martabat akademiknya.
Sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, UIAM sewajarnya memiliki kebebasan akademik dan keterbukaan dalam memberikan pandangan khususnya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan ahli akademik yang terlibat. UIAM sepatutnya tidak harus memberikan reaksi yang menampakkan ia dipengaruhi oleh pihak luar yang boleh menjejas imej dan martabat akademiknya.
Seharusnya, kenyataan beliau itu perlulah dilihat dari perspektif seorang pakar perlembagaan yang sememangnya diiktiraf, berautoritatif dan menjadi rujukan akademik sekian lama. Ia perlulah dihormati, dihargai dan dinilai sebagai pandangan profesional semata-mata. Andainya ada pandangan yang berbeza, sewajarnya ia dikemukakan juga mengikut adab akademik sepertimana lazimnya demi perkembangan dan penyuburan budaya ilmu secara sihat dan utuh. 

Hakikatnya, sebagai warganegara beliau mempunyai hak asasi menyuarakan pandangan dan dilindungi perlembagaan. Ketegasan beliau telah menjadikan UIAM lebih dihormati dan dipandang tinggi. Justeru, tidak harus timbul prejudis melulu seolah-olah jenayah akademik besar telah dilakukan sehingga "menjejaskan kepentingan universiti". Apatah lagi, beliau telahpun secara profesional memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak yang menjalankan siasatan dalam isu ini - polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM). Malah, beliau bersedia memberikan penjelasan terperinci bagi mengelakkan manipulasi mana-mana pihak yang tidak berniat murni.

Oleh itu, KEADILAN menuntut agar pihak penguasa politik segera menghentikan campurtangan mereka terhadap UIAM di dalam isu ini. Tindakan penggantungan tugas terhadap beliau hendaklah ditarik balik dan segera memohon maaf tanpa syarat kepadanya. Sehingga bilakah amalan "membunuh Hang Nadim kerana kecederdikannya" ini mahu diteruskan dalam arena politik negara ini?
*Kenyataan media oleh Dr.Muhammad Nur Manuty (gambar kanan) selaku Ketua Penerangan PKR.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.