KUALA LUMPUR, 22 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) memandang serius isu terbaru yang melibatkan penggantungan profesor undang-undang terkemuka dan kritis negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
“Isu ini adalah satu lagi titik hitam sejarah negara. Ia hanya akan menghitamkan lagi rekod Barisan Nasional memerintah negara kita,” kata ketua penerangannya, Mohd Nasir Zakaria (gambar).
Katanya, penggantungan Dr Aziz selaku pensyarah sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.
Ini, katanya kerana Dr Aziz adalah pensyarah kanan Universiti Islam Malaysia yang sudah berkhidmat selama 22 tahun dan antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan.
“Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, Dr Aziz terkenal berani dan kontroversi dan beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang.
“Beliau sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Padang Terap.
Baginya, alasan yang diberikan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ialah kerana "membuat kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" adalah satu alasan yang sangat subjektif bagi sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, masyarakat tertanya-tanya, bertentangan dengan kepentingan universiti itu juga bermaksud bertentangan dengan kepentingan pemerintah lanjutan laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.
Baginya, penggantungan ini akan menjatuhkan lagi imej universiti Malaysia di mata dan ranking universiti di dunia.
“Sudahlah para mahasiswa dan pensyarah terpaksa berdepan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kali ini pensyarah pula berdepan dengan pelbagai akta dan halangan 'kepentingan' universiti,” katanya.
Selepas peristiwa ini, ujarnya DPPNK dapat merasakan pendemokrasian ilmu akan semakin terhakis dan akan menyebabkan kebebasan bersuara akan semakin kelam.
Katanya, imej universiti sebagai menara ilmu dan harapan ummat sebagai lubuk kebijaksaaan akan semakin dipandang sinis dan autoriti seorang sarjana akan semakin diperlekehkan.
“Alangkah malangnya negara ini,” ujarnya lagi.
Tambah Nasir, apa yang kebih besar ialah kesan terhadap para mahasiswa yang sedang menyiapkan tesis serta mengikuti kelas yang dipimpin oleh beliau.
Tambahnya, apapun alasannya termasuk alasan beliau menghina raja, DPPNK mengharapkan agar penggantungan beliau sebagai sarjana dan pensyarah ditarik balik terlebih dahulu.
“Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis yang menyiasat beliau susulan isu ini juga akan menjadikan ahli akademik semakin terkongkong dalam menyampaikan ilmu dan menegakkan kebenaran,” katanya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.