9 Oct 2011

Kickdefella mohon pindah kes ke Kuala Lumpur

KOTA BHARU, 9 Okt: Blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, 41 memohon Mahkamah Tinggi di sini memindahkan perbicaraan kes saman Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadapnya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam afidavitnya hari ini beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Disebut juga dalam afidavitnya kini beliau berada di bawah jagaan pihak polis.

Dalam permohonan yang sama beliau menyebut alasan sumber kewangan terhad, dan perbelanjaan dikeluarkannya bagi mengendali kes tersebut dianggap lebih memudaratnya.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan gelaran Kickdefella diwakili peguam dari Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.
Bagaimanapun permohonan itu dibantah peguam plaintif, Hisham Fauzi di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin pada pengurusan kes itu hari ini.
Pada 19 September Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel yang ditulis defendan berunsur fitnah terhadap plaintif.
Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).
Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.
Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau serta ganti rugi punitif.
Satu injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya atau sesiapa sahaja daripada berkomunikasi, memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif turut dikemukakan.
Hisham berkata, pendengaran tuntutan plaintif akan diadakan pada 1 November hadapan.
sumber : Harakah Daily
 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.