MIRI, 7 Nov: PAS Miri mempesoalkan mengapa gelanggang futsal di Kampung Luak yang sudah lama dibina sehingga kini masih belum dibuka untuk penduduk kampung disebabkan masalah penyerahan kunci belum dapat disempurnakan oleh yang pihak berkenaan.
“Kita sentiasa menyokong hasrat kerajaan membina lebih banyak tempat permainan untuk rakyat dan penduduk kampung tetapi masalahnya sekarang apakah tempat tersebut dapat digunakan sepenuhnya,” kata Yang Dipetua PAS kawasan, Jofri Jaraiee.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato Sebastian Ting bahawa kawasan Parlimen Miri akan mendapat tiga gelanggang futsal bernilai RM150, 000 setiap satu yang akan dibina dalam masa terdekat.
Gelanggang futsal berkenaan akan dibuat di Kampung Wireless, Kampung Sungai Adong dan Kampung Muhibah, Kuala Baram.
Peruntukan itu disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Belia dan Sukan kepada Parlimen Miri yang merupakan kawasan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui selaku Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, untuk kemudahan penduduk kampung.
“Mengapa perkara tersebut boleh terjadi sedangkan pembinaan gelanggang futsal ini sudah lama dibina?” soalnya berhubung gelanggang futsan di Kampung Luak.
Soalnya lagi, apa erti gelanggang serba guna kalau tidak dapat digunakan, apa erti kemudahan untuk penduduk kampung kalau hendak masuk ke dalam gelanggang tersebut pun susah.
Menurutnya, ada orang kampung kata itulah gelanggang futsal yang tidak berguna.
“Kita mendesak pihak yang bertanggungjawab dan yang berkenaan agar membuka gelanggang futsal tersebut dengan segera agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung tersebut.
“Kita juga mendesak agar semua tempat permainan awam dibuka dengan percuma bukan dikunci seperti sekarang kerana buat apa membina tempat kemudahan awam sedangkan ianya menyusahkan orang awam menggunakannya,” katanya.
Katanya, kalau pun hendak menjaga tempat tersebut dari kerosakan pihak kerajaan sepatutnya melantik pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kampung untuk menjaga tempat tersebut dengan baik agar semua penduduk kampung yang ingin menggunakan tempat tersebut akan sama-sama menjaga tempat mereka dengan baik.
PAS kawasan, ujarnya tidak mahu ada pihak tertentu membina gelanggang futsal semata-mata untuk kepentingan peribadi dan hanya sebagai ‘gajah putih’ seperti perasmian ketika musim pilihan raya kerana ianya adalah hasil wang pembayar cukai dan hak rakyat.
Sepatutnya, tambah beliau semua tempat kemudahan awam terbuka kepada semua penduduk kampung tanpa mengira fahaman politik.
“Diharap pihak yang berkenaan dapat bertindak dengan segera dengan membuka gelanggang futsal tersebut dan dapat digunakan oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” ujarnya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.