JOHOR BAHRU 27 Nov: Sejarah membuktikan hanya seorang sahaja Perdana Menteri dari Johor meskipun Umno di negeri ini dianggap sebagai yang terkuat, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution.
Katanya, sejarah persaingan di peringkat kepimpinan tertinggi negara membuktikan pemimpin Umno dari negeri itu dipinggirkan seperti yang berlaku kepada Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Musa Hitam.
“Jadi belum tentu Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menjadi Perdana Menteri. Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri kerana kebetulan Tun Razak meninggal dunia dan lihat bagaimana dia kemudiannya disingkir Dr Mahathir kerana dikatakan kesihatan tidak baik,” katanya ketika berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pulai, Johor.
Saifuddin merujuk perkembangan KEADILAN di Johor yang dianggap lebih baik berbanding pengalamannya ketika mengadakan ceramah lima tahun dahulu.
“Sekarang sambutan lebih baik. Ribuan yang hadir,” kata beliau.
Beliau memberi contoh ceramah yang dihadirinya di sebuah rumah di kampung Bendahara, semalam apabila tuan rumah berkenaan tidak gentar meskipun berdepan dengan ugutan pihak polis.
“Nampaknya sekarang ketakutan rakyat Johor sudah hilang,” katanya optimis.
Sementara itu, Saifuddin mengucapkan tahniah kepada perwakilan yang sanggup hadir sejauh dari Kelantan dan Kedah.
Malah katanya, ada perwakilan yang terpaksa bersesak dalam kereta dan mengambil cuti untuk hadir ke Kongres bagi mendengar amanat pimpinan parti.
“Mana lagi tempat kita nak muhasabah diri kalau bukan sewaktu Kongres. Kalau nak ubah kepada budaya kena mula dari sekarang. Ambil pengajaran dan bawa balik resipi perjuangan,” kata Saifuddin.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.