Kira-kira 5,000 orang tampil menyertai Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah, bermula, berlangsung dan berakhir secara aman sebagaimana yang dijanjikan penganjurnya sebelum ini. Pengerusi HIMPUN Mohd Azmi Hamid tidak kecewa dengan kehadiran petang tadi, malah menganggap perhimpunan ini telah berjaya.
"Kita tidak kisah angka yang sebenar, seandainya anda mahu mengira setiap orang, ia boleh menjadi satu angka yang kecil, tetapi semangat dan mesejnya adalah sama, sama ada sejuta yang datang, 100 ribu atau seribu orang," kata Azmi Hamid ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang media selepas perhimpunan tersebut melabuh tirai pada kira-kira jam 6.20 petang.
Perhimpunan yang kontroversialDua hari sebelum HIMPUN, penganjurnya secara terbuka mempelawa agar bukan muslim turut hadir bersama, sedikit sebanyak meredakan keadaan. Sepanjang perhimpunan pada hari ini, pengacara Ahmad Badrul Sani, (gambar kiri) biarpun berapi-api ketika berucap, tetapi tidak lupa untuk beliau berkali-kali menekankan bahawa perhimpunan ini bukan untuk memerangi bukan Islam, malah berterima kasih kepada bukan muslim, antaranya wartawan yang hadir.
Mengikut pengamatan wartawan, sememangnya wujud usaha-usaha dari pihak yang tidak diketahui untuk membawa agenda politik ke dalam perhimpunan ini. Risalah yang mempertikaikan kerjasama antara PAS dengan DAP turut didapati di perkarangan stadium, dengan tajuk "Karpal Singh hina perjuangan Islam: Kenapa PAS masih menyokong DAP (harbi)?"
Agenda: Banteras Murtad
Wartawan sempat berbual dengan beberapa orang peserta, ada antara mereka yang dikenali sebagai penyokong Pakatan Rakyat. Mereka mengakui bimbang dengan gejala sosial negatif yang menular dalam masyarakat Melayu-Islam, misalnya pembuangan bayi, yang untuk mereka, ada kaitnya dengan aqidah. Mereka khuatir seandainya tidak mempertahankan agama pada ketika ini, maka ada kemungkinan mereka terlepas peluang untuk berbuat demikian.
Tiada ucapan provokasi yang keterlaluan
Untuk berlaku adil kepada HIMPUN, tiada ucapan provokasi yang keterlaluan daripada pemidato yang berucap. Temanya jelas, iaitu agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Malaysia, dan usaha menyebarkan agama lain kepada muslim adalah jenayah dari sisi undang-undang. Bukan Islam digesa hentikan usaha tersebut, jangan pula muslim yang bersikap "bertolak ansur", berakhir dengan Islam "ditolak beransur-ansur".
Pemidato dari Sabah Farhan Abdullah, menuntut agar al-Quran mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan, malah mencadangkan agar pindaan terhadap perlembagaan dibuat, supaya kebebasan beragama hanya terhad kepada bukan Islam.
Melayu-Muslim berpecah-belah?
Bagaimanapun, retoriknya tidak banyak berubah, apabila tidak kurang yang menganggap bahawa gejala ini berlaku kerana "umat Islam berpecah-belah sesama sendiri". Retorik sedemikian tidak lain daripada apa yang selama ini didendangkan, terutamanya apabila UMNO cuba memujuk agar PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.
Soalan diajukan kepada Azmi Hamid, bahawa sementara bukan muslim dituduh berdakwah kepada muslim, apakah HIMPUN mengakui bahawa wujudnya kelemahan dalam institusi Islam sendiri, misalnya pemberian wang zakat yang mengabaikan golongan terpinggir, yang akhirnya menjurus kepada gejala murtad?
Sesungguhnya perhimpunan hari ini bukan tanda noktah. HIMPUN akan menjelajah ke negeri lain untuk menyebarkan mesej mereka., menurut Azmi Hamid. Cuma, apakah keresahan umat Islam ini mampu diluahkan kepada bukan Islam, melalui dialog dan sebagainya - agar ia menemui jalan penyelesaian yang lebih baik?
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.