24 Sept 2011

Izzah desak SKMM tarik balik larangan video Undilah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menarik balik larangan video ‘Undilah’ yang disiarkan stesen televisyen tempatan.
Menurutnya, beliau amat terkejut membaca berita bahawa SKMM mengarahkan penyiar tempatan berhenti menayangkan hebahan khidmat awam (PSA) itu.

Beliau berkata, ketika pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara “demokrasi terbaik” di dunia, tindakan SKMM itu jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya.
“Saya memohon SKMM menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar tempatan,” kata Izzah.
“PSA (Undilah) yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti, demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita.
“Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong,” tegas Izzah.
Justeru, beliau menggesa SKMM supaya tidak diperkudakan demi politik, sebaliknya mempromosi video itu sebagai satu langkah memperkukuh demokrasi di negara ini.
“Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanahair,” tambahnya.
Video berkenaan diterbitkan Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia 16 September  lalu.
Selain beliau, ia turut menampilkan ahli politik BN  seperti ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.
SKMM – dalam satu emel minggu ini dilapor – mengarahkan Astro dan Media Prima Bhd supaya berhenti menyiarkan video ‘Undilah’ kerana ia menampilkan ahli politik pembangkang serta tokoh politik kontroversi Umno, Tengku Razaleigh.
Turut muncul dalam video itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua; ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama-sama dengan artis-artis seperti Namewee dan Afdlin Shauki.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.