TAHUN BARU 2012 benar-benar mendambakan harapan baru anak semua bangsa untuk melihat wajah dan situasi baru yang boleh memberi makna kepada kehidupan yang lebih baik.
Pada saat menghantar yang lama dan menyambut yang baru ini, kami dengan takzim mengucapkan selamat Tahun Baru kepada semua rakan seperjuangan lama, sahabat lama, rakan baru serta semua yang berjuang demi mewujudkankan masyarakat yang lebih baik, mudah-mudahan kalian berada dalam keadaan sihat wal’ afiat serta berjaya dalam segala gerak kerja dan usaha.
Sepanjang tahun lalu, krisis ekonomi dalam negeri-negeri maju di Amerika dan Eropah berlanjutan selama tiga tahun lebih dan masih tidak nampak tanda-tanda untuk mereda, malah sebaliknya negeri-negeri Eropah turut terperlus ke dalam krisis kewangan dan hutang yang semakin tenat, di hadapan rakyat sedunia, sistem kapitalis itu telah mendedahkan lebih lanjut kepincangan yang membawa maut kepada dirinya sendiri. Segala kepincangannya membuat orang lebih mengenali bahawa masyarakat itu bukanlah syurga bahagia. Kelembapan pembangunan ekonomi, ketenatan inflasi, melonjaknya angka serta tenaga penganggur yang dahsyat. Kemerosotan kualiti kehidupan dan bertambah meruncing polarisasi antara yang kaya raya dengan yang papa kedana, telah menimbulkan ketidakpuasan amat hebat di kalangan rakyat massa. Pergerakan memprotes di mana 99% umat dalam garis kesusahan menentang satu peratus kelas oligarki yang membolot kekayaan, iaitu pergerakam "occupy" (menduduki) telah menyelubungi negeri-negeri maju.
Di pihak lain, banyak negara membangun sedang menyelidik pelan jalan pembangunan yang lebih sesuai dan serasi dengan keadaan negerinya di sepanjang laluan liku dan selekoh yang tajam. Negara-Negara kumpulan 20 (G20) amnya yang mewakili negara-negara selatan, telah memainkan peranan semakin penting dalam ekonomi sejagat; China, India, dan negara-negara Asean serta yang lain sedang berusaha mengubah struktur politik dan ekonomi dunia.
Namun begitu, laluan bagi rakyat menuntut reformasi masih berhalangan oleh lekak-lekuk perjalanan serba payah oleh fitnah dan propaganda media arus perdana yang bersemayam di bawah rongga kuasa parti pemerintah. Bagimanapun gelombang demi gelombang reformasi yang membadai kian kuat menerjah jendela dan di setiap ruang dan dalam negeri. Reformasi kini telah menjadi aliran sejagat yang melanda di sana sini yang tiada tangan yang boleh menghalangnya.
Rakyat semua bangsa dalam negara sudah amat kecewa dan putus asa terhadap rejim yang rasuah, korupsi, autokrasi dan menyalahgunakan kuasa yang memerintah selama setengah abad lebih itu, kini teramat mendambakan perubahan. Daripada politik ugutan hegemoni lama kepada politik harapan yang lebih telus dan dinamik.
Ekonomi negara kita juga menghadapi jalan sendat, tidak boleh terima transformasi lagi jika hendak menapak langkah menuju negara maju. Boleh dikatakan bahawa struktur lama tergoyah-goyah dalam ribut bergelora, order baru meronta-ronta dalam kesulitan yang wujud. Akan tetapi, kita tetap yakin akan ramalan dalam peribahasa "air boleh menimbulkan perahu, malah boleh jua mengaramkannya". Segala-galanya berpaksikan kepentingan rakyat, kekuatan dan parti yang berjuang demi kepentingan rakyat, pada akhirnya akan memenangi pendukongan rakyat, sedangkan semua golongan yang menjejaskan kepentingan rakyat yang sering memungkiri kehendak rakyat, akhirnya akan disingkirkan oleh rakyat.
Dalam tahun 2012 akan diadakan Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13). Kita berharap tahun yang baru ini bakal mendatangkan harapan baru dan membuka situasi dan wajah politik baru - politik harapan negara bangsa yang lebih selesa sekaligus membenamkan jauh ke dalam bumi order lama fitnah bernanah, politik ugutan dan rasuah.
*Tulisan ini dipetik dari blog Tongkat Bahaman, dengan sedikit suntingan dibuat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.