28 Nov 2011

Bekas Ketua Penerangan Pemuda Gerakan sertai KEADILAN

(Oleh: Masdar Wahid)
 JOHOR BAHRU 27 Nov: Bekas Ketua Penerangan Pemuda Gerakan Selangor, Delren Terrente Doughlas mengambil keputusan untuk menyertai KEADILAN selepas kecewa dengan Gerakan dan Barisan Nasional.
Delren berkata, penyertaan beliau dalam parti itu kerana yakin dengan reformasi KEADILAN yang memperjuang kesaksamaan untuk setiap kelompok rakyat di negara ini.
“Saya juga memutuskan meninggalkan Gerakan kerana hala tuju parti ini kerap ditentukan Umno selain tidak yakin dengan kepimpinan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon,” katanya yang turut menyatakan kira-kira 30 bekas anggota Gerakan dari Selangor dan Kedah bakal mengikut langkahnya.
Penyertaan beliau itu diumumkan pada awal Muharram dan sebaik selesainya Kongres KEADILAN kali ke lapan yang berlangsung di Johor.

Lagi bantahan Akta Perhimpunan Aman

PULAU PINANG 28 Nov: Sekumpulan lebih 100 orang mengadakan demonstrasi bagi membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang bakal diluluskan di Dewan Rakyat.
Antara yang menyertai bantahan anjuran Suara Rakyat Malaysia itu ialah beberapa ahli Exco kerajaan negeri dan Adun.
Mereka yang hadir termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung), Ng Wei Aik (DAP-Komtar), Jason Ong (KEADILAN-Kebun Bunga) dan pengerusi Yayasan Lim Lean Geok, Datuk Toh Kin Woon yang juga bekas pemimpin Gerakan.
Perhimpunan ini adalah yang kedua, berikutan bantahan oleh 400 orang di KLCC Sabtu lalu.
Dalam bantahan ini, kumpulan itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang itu sambil membawa sepanduk dan melaungkan ‘hidup rakyat!, lapor Malaysiakini.

AMK gerakkan demo sebelum Anwar dipenjara

(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 28 Nov: Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulangi bahawa sayap pemuda itu akan menggerakkan demonstrasi seluruh negara sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Shamsul berkata, demonstrasi berkenaan akan digerakkan bermula pada pelancaran jentera Pakatan Rakyat di Shah Alam pada 4 Disember ini.
“Buat permulaan kita mengadakan ‘warm-up’ di Shah Alam, 4 Disember ini sebelum demo  diadakan di seluruh negara sebagai bantahan terhadap fitnah yang ditujukan kepada Anwar,” katanya.
Jumaat lalu, Shamsul menyuarakan amaran berkenaan  semasa Kongres Angkatan Muda KEADILAN yang berlangsung di Pulai, Johor.

NFC dapat kontrak, kerana Shahrizat Menteri Umno

(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 28 Nov: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak mungkin mendapat kontrak mengusahakan Pusat Fidlot Kebangsaan jika Datuk Seri Shahrizat Jalil bukan pemimpin Umno dan menteri kabinet.
Itu reaksi segera Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin terhadap penafian Ketua Wanita Umno itu, kononnya  tiada kaitan dengan NFC yang dimiliki suami dan anaknya.
“Sebab itu kita mendesak minit mesyuarat mengenai projek itu didedahkan kerana kita mahu tahu kenapa NFC diberi kebenaran mengusahakan projek itu.
“Keengganan mendedahkannya mengukuhkan lagi kenyataan kita bahawa syarikat itu mendapat tender hanya kerana Shahrizat pemimpin Umno dan menteri kabinet,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Akta Perhimpunan Aman : Najib kelirukan rakyat

(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 28 Nov : Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata Perdana Menteri cuba mengelirukan rakyat berhubung  Akta Perhimpunan Aman 2011.
Menurut Surendran, kenyataan Najib bahawa akta itu membolehkan notis perhimpunan diberi dalam masa singkat, tidak terkandung dalam Rang Undang Undang yang dibentangkan sebelum ini.
“Kalau betul boleh beri notis yang begitu pendek, kenapa tidak dinyatakan dalam RUU sewaktu dibentangkan? Jelas sebelum ini menyebut notis 30 hari, sekarang dia cuba lari kerana RUU itu jelas zalim,” kata Surendran.
Beliau mengulas kenyataan Najib hari ini bahawa Pakatan Rakyat cuba mengelirukan orang ramai khususnya berkenaan syarat notis 30 hari bagi penganjur perhimpunan memaklumkan pihak polis.
Menurut Surendran, Najib sebenarnya tertekan dengan bantahan Pakatan Rakyat, NGO dan orang ramai yang marah dengan Akta itu.

Majlis peguam desak parlimen tolak Akta Perhimpunan Aman

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Majlis Peguam menggesa semua ahli parlimen samada kerajaan atau pembangkang agar tidak meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2011.
Sebaliknya badan itu mahu rang undang-undang alternatif dipertimbangkan dengan merujuk kepada kajian jawatankuasa pilihan khas Parlimen.
“Tiada pilihan lain. Jangan luluskan RUU Perhimpunan Aman 2011. Sokong rang undang-undang alternatif kami dan permintaan kami agar diadakan jawatankuasa pilihan khas Parlimen (bagi membincangkan undang-undang baru ini),” kata Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dalam surat terbuka kepada ahli-ahli Parlimen hari ini.
Dewan Rakyat akan membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 esok selepas ia dibentangkan minggu lalu, lapor The Malaysian Insider.

Debat NFC: Khairy tidak tolak, kita akan teruskan – Rafizi

(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 28 Nov : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, debat bersama Khairy Jamaluddin berkenaan isu penyelewengan wang rakyat dalam Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) tetap akan diteruskan seperti tarikh yang dicadangkan 12 Disember ini.
“Kita (KEADILAN) akan teruskan kerana dia (Khairy) tidak pernah membuat kenyataan menolak debat ini malah sebelum itu pernah membuat kenyataan di media arus perdana bahawa beliau bersedia,”
“Dia (Khairy) telah membuat kenyataan secara terbuka melalui twitternya dan (berkata) akan pertimbangkan. Jadi bagi saya dia sebenarnya telah menerima jemputan tersebut dan tidak ada masalah dengan tarikh,” kata Rafizi.